Pelakon veteran Roslan Saleh meninggal dunia pada usia 69 tahun - The Reporter

Pelakon veteran Roslan Saleh meninggal dunia pada usia 69 tahun

Pelakon veteran Roslan Saleh meninggal dunia
Roslan Saleh

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pelakon veteran, Roslan Saleh, 69, meninggal dunia pagi ini, menurut perkongsian anaknya, Farahanis Roslan, di laman sosial Facebook.

“Dukacita dimaklumkan bahawa ayahanda saya, Roslan Saleh baru saja meninggal dunia sebentar tadi,” tulisnya dalam catatan tersebut.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Kampung Rantau Panjang, Masjid Tanah, untuk urusan mandi, kafan dan solat jenazah sebelum dikebumikan selepas solat Jumaat hari ini.

Perjalanan karier

Roslan Saleh, atau lebih dikenali sebagai Pak Lan, dilahirkan pada tahun 1957 di Melaka. Sebelum terjun ke dunia lakonan, beliau pernah berkhidmat sebagai guru selepas menamatkan pengajian di Maktab Perguruan Lembah Pantai.

Memulakan kerjaya lakonan pada tahun 1970-an, Roslan terkenal dengan watak-watak antagonis dan pernah membintangi pelbagai filem serta drama tempatan. Antara filem terkenal lakonannya termasuk Sembilu 2 (1995), Gerak Khas The Movie 2 (2002), Damping Malam (2010), Bini-Biniku Gangster (2011), Munafik 2 (2018) dan Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda (2020).

Selain itu, Roslan juga aktif dalam drama dan telefilem seperti Emil Emilda, Ezora, Ustaz Amirul dan Trilogi Cinta, yang mengukuhkan lagi namanya dalam industri seni tanah air.

Kesihatan merosot

Namun, sejak 2017, kesihatannya mula merosot akibat penyakit diabetes kronik yang menyebabkan beliau kehilangan penglihatan serta menghadapi kesukaran berjalan. Pada tahun 2022, beliau dilaporkan tidak lagi dapat melihat selepas doktor terpaksa mematikan saraf matanya bagi menghilangkan kesakitan di kepala yang dialaminya.

Keadaan kesihatannya terus merosot, dan beliau akhirnya terlantar di rumah dengan penjagaan penuh daripada isterinya, Zainun Majid. Dalam keadaan uzur, Roslan tetap berusaha menyara keluarga dengan menjalankan perniagaan kecil-kecilan seperti menjual pisang goreng dan daging dendeng.

Kini, dunia seni kehilangan seorang lagi pelakon berbakat yang banyak meninggalkan kesan dalam industri hiburan tempatan.

Total
0
Shares
Total
0
Share