Orang Asia terkejut apabila mengetahui rakyat Sweden tidak menjamu tetamu mereka | The Reporter

Orang Asia terkejut apabila mengetahui rakyat Sweden tidak menjamu tetamu mereka

Budaya Sweden tidak jamu tetamu
Gambar hiasan

Bayangkan bertandang ke rumah seorang rakan dan tidak dijemput makan bersama mereka. Kedengaran pelik, bukan? Namun, inilah budaya yang diamalkan sesetengah keluarga di Sweden. Isu ini mencetuskan perbincangan hangat dalam talian selepas dibangkitkan dalam sebuah forum Reddit dua tahun lalu, sekali gus mencipta kontroversi dikenali sebagai #Swedengate.

Perkara ini bermula apabila pengguna Reddit, u/sebastian25525, mengajukan soalan, “Apa perkara paling pelik yang pernah anda lakukan di rumah orang lain kerana budaya atau agama mereka?” Menjawab soalan itu, u/Wowimatard berkongsi pengalaman uniknya ketika bertandang ke rumah seorang rakan di Sweden.

“Saya ingat pergi ke rumah rakan Sweden saya. Semasa kami bermain di biliknya, ibunya memanggil untuk makan malam. Kemudian, dia menyuruh saya tunggu di bilik semasa mereka makan. Saya rasa itu sangat pelik,” tulisnya.

Pengguna lain, u/TeaRaveler, menambah, “Saya pernah tidur di rumah rakan. Pagi esoknya, dia kata mahu turun sebentar. Selepas 15 minit, saya ke tangga untuk melihat apa yang berlaku dan mendapati mereka sedang bersarapan. Mereka nampak saya dan berkata dia hampir selesai makan dan akan kembali ke atas sebentar lagi. Saya masih teringat kejadian itu walaupun sudah 25 tahun berlalu.”

Komen-komen ini tular di Twitter, menyebabkan ramai, terutama dari Asia, terkejut dengan budaya tersebut. Seorang pengguna dari Afghanistan, @SamQari, memuat naik tangkap layar komen Reddit itu di X (Twitter) sambil menulis, “Saya bukan ingin menghakimi, tetapi saya tak faham ini. Bagaimana anda boleh makan tanpa menjemput rakan anda?” Ciapan itu mendapat perhatian ramai dengan ribuan komen membanjiri hantaran tersebut.

Pengguna lain, @jaicabajar, membandingkan budaya di Filipina yang sangat mengutamakan layanan kepada tetamu. “Orang Filipina sanggup berusaha lebih untuk melayan tetamu mereka dan memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong,” tulisnya.

Sebahagian pengguna lain cuba menjelaskan budaya Sweden ini. Seorang pengguna, @skepsheik, berkata, “Saya telah tinggal hampir 20 tahun di Stockholm. Penduduk tempatan cenderung mengelakkan membawa orang luar ke dalam kalangan sosial mereka. Tidak menjemput anak rakan makan bersama dianggap cara untuk menjaga batas persahabatan.”

Seorang lagi pengguna dari India, @abhijitmajumder, menyifatkan budaya ini sebagai sesuatu yang sukar diterima. “Sebagai orang India, mustahil untuk tidak menjemput tetamu makan, terutama seorang kanak-kanak. Kebanyakan keluarga India, tanpa mengira agama, sering memberi layanan berlebihan kepada tetamu. Ini bukan soal kekurangan makanan tetapi tentang hospitaliti, satu sifat manusia yang terbaik,” katanya. – Agensi

Related Posts