Seorang penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta BYD Seal di Jalan Kuching, Kuala Lumpur, baru-baru ini dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Mangsa, Ahmad Safwan Yahya, dilaporkan mengalami beberapa kecederaan serius termasuk patah pada bahagian pinggang sebelah kiri dan masalah kebocoran paru-paru kiri.
Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarganya menerusi satu perkongsian di media sosial bagi menjelaskan keadaan terkini mangsa yang turut terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawa seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun, Asiah Ahmad Syahir.
Keluarga luah kebimbangan
Menurut ahli keluarga mangsa, Ahmad Safwan telah menjalani prosedur menjahit kulit kepala yang terkoyak pada Selasa lalu, 13 Oktober, kira-kira jam 3.46 petang.
Bagaimanapun, mangsa masih menunggu rawatan lanjut termasuk pembedahan pada bahagian pinggang dan paru-parunya.
Dalam pada itu, keluarga turut meluahkan kebimbangan mengenai masa depan Ahmad Safwan yang dijangka mengambil tempoh panjang untuk pulih sebelum dapat kembali bekerja seperti biasa.
Menurutnya, mangsa mempunyai seorang isteri yang tidak bekerja serta tiga anak yang masih memerlukan perbelanjaan harian.
“Siapa yang akan menampung kos-kos harian kerana adik saya mempunyai keluarga yang perlu diberi makan, isteri dan tiga orang anak?
“Dalam tempoh pemulihan tersebut, keluarga adik saya tiada punca pendapatan kerana isterinya tidak bekerja,” katanya.
Siasatan telus
Pada masa sama, ahli keluarga berkenaan berharap siasatan terhadap kemalangan itu dijalankan secara telus, selain mempersoalkan sama ada pemandu kereta terbabit berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Keluarga mangsa turut berharap keputusan yang adil dapat diberikan melalui proses mahkamah, mengambil kira kesan kecederaan yang dialami Ahmad Safwan terhadap kehidupan dan masa depannya.
Selain itu, ahli keluarga menjelaskan bahawa Ahmad Safwan masih belum membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut kerana masih menerima rawatan di HKL.
Terdahulu, pemandu BYD Seal yang juga seorang pegawai bank berusia 24 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan termasuk memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak berkenaan.








