Sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang memasuki kawasan landasan kereta api di Stesen Pelabuhan Klang pada 11 Oktober lalu menyebabkan gangguan dan kelewatan operasi perkhidmatan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
KTMB menerusi kenyataan media memaklumkan, kejadian kira-kira jam 11.45 malam itu melibatkan sebuah kenderaan awam yang memasuki kawasan landasan melalui pintu pagar lintasan rata.
Menurutnya, kenderaan berkenaan kemudian berhenti di Kilometer (KM) 43.273, kira-kira 130 meter dari lokasi kemasukan.
“Susulan kejadian itu, pasukan berkaitan digerakkan ke lokasi bagi mengeluarkan kenderaan secara terkawal.
“Kenderaan berkenaan berjaya dialihkan dan landasan kembali bebas pada jam 1.20 pagi, 12 Oktober,” menurut kenyataan itu pada Rabu.
KTMB memaklumkan, pemeriksaan mendapati tiada kerosakan pada landasan, sistem semboyan mahupun sistem Alat Talian Atas (ATA).
Pemandu SUV terbabit juga dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Dalam pada itu, KTMB mendedahkan sebanyak tujuh kes pencerobohan individu di kawasan landasan kereta api yang mengakibatkan gangguan operasi tren direkodkan sepanjang Januari hingga September tahun ini.
Sehubungan itu, KTMB menegaskan pihaknya memandang serius sebarang bentuk pencerobohan, vandalisme dan kecurian kabel kerana boleh menjejaskan operasi tren serta membahayakan keselamatan penumpang dan kakitangan.
Perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api merupakan kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
Individu yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda, penjara atau kedua-duanya sekali.








