Sanggup belanja lebih RM800K demi bibir idaman | The Reporter

Sanggup belanja lebih RM800K demi bibir idaman

Wanita transgender dengan bibir besar hasil suntikan kosmetik
Sanggup belanja lebih RM800K demi suntikan bibir, wanita ini tetap obses walaupun mulut tak boleh tutup

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Vienna alami kesukaran bernafas & mulut sentiasa terbuka akibat lip filler
• Sudah belanja RM823,000 untuk pembedahan plastik, termasuk RM235,000 untuk bibir
• Tetap mahu teruskan hingga capai 200cc lip filler & tambah pembedahan lain

Seorang wanita transgender dari Mallorca, Sepanyol, mengakui tidak lagi mampu menutup mulut dan kini mengalami masalah pernafasan selepas terlalu banyak menjalani suntikan bibir. Namun begitu, dia tetap bertekad untuk meneruskan rawatan tersebut.

Vienna Würstel, 25, berkata dia telah mula mendapatkan suntikan pertama seawal usia 18 tahun dan sejak itu menjadikannya satu rutin tetap. Hasratnya sejak kecil ialah untuk kelihatan lebih feminin daripada biasa.

“Saya sentiasa mahu tampil feminin secara ekstrem. Bibir besar, bentuk badan menonjol dan semuanya terasa tepat,” katanya kepada Daily Mail.

Masih mahu tambah walaupun alami kesan buruk

Sepanjang lima tahun lalu, Vienna telah membelanjakan kira-kira $175,000 (RM823,000) untuk pelbagai prosedur kosmetik, termasuk $50,000 (RM235,000) hanya untuk suntikan bibir.

“Saya mendapatkan suntikan baharu setiap dua hingga empat minggu. Saya sanggup terbang ke Frankfurt dari Sepanyol untuk bertemu pakar suntikan bibir terbaik. Setiap lawatan menelan belanja lebih $2,000 (RM9,400) tapi bagi saya, kecantikan tidak ada harga.”

Namun di sebalik penampilan yang digilap itu, Vienna mengakui kesihatannya kini terjejas. Bibirnya terlalu sensitif, saluran hidungnya tersumbat dan satu-satunya cara untuk bernafas kini adalah melalui mulut. Dia juga tidak lagi boleh menutup mulut sepenuhnya.

“Saya kerap sakit tekak pada waktu pagi kerana mulut sentiasa terbuka. Saya gunakan pencuci mulut khas daripada doktor gigi untuk menjaga kesihatan gusi. Tapi jujurnya, semuanya berbaloi kerana saya sangat menyukai bibir saya.”

Kritikan netizen tidak mematahkan semangat

Penampilannya sering menjadi sasaran kecaman netizen, namun Vienna tetap yakin dengan pilihannya dan tidak ambil pusing terhadap komen negatif di media sosial.

“Saya terima banyak kecaman, terutamanya berkaitan penampilan dan bibir saya. Tapi biasanya daripada golongan yang tidak diizinkan pasangan untuk lakukan rawatan atau mereka yang tidak mampu. Saya rasa mereka cuma cemburu atau tidak puas hati dengan diri sendiri.

“Orang yang benar-benar bahagia tidak akan tinggalkan komen penuh kebencian.”

Tambahnya lagi, keluarga, rakan dan pasangan sentiasa menyokong keputusan yang dibuat. Buat masa ini, dia telah menerima sebanyak 93cc (bersamaan 93 mililiter) suntikan ke bibirnya, iaitu jauh melebihi amaun biasa yang digunakan dalam prosedur kosmetik. Dia juga merancang untuk menjalani pembedahan hidung dan ‘cat-eye lift’ dalam masa terdekat.

“Saya memang obses. Saya percaya pada prinsip lebih besar lebih baik.”

Related Posts