Netanyahu tuduh Iran pernah rancang hapuskan Trump, cubaan tarik Amerika masuk medan perang? | The Reporter

Netanyahu tuduh Iran pernah rancang hapuskan Trump, cubaan tarik Amerika masuk medan perang?

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa Iran pernah merancang dua cubaan pembunuhan terhadap bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump ketika kempen pilihan raya 2024. Dakwaan itu dibuat dalam temu bual bersama Fox News pada 15 Jun 2025, dan mengundang tanda tanya dalam kalangan pemerhati antarabangsa – benarkah Iran terlibat atau Netanyahu sengaja mahu heret AS masuk perang?

Netanyahu menyifatkan Trump sebagai “musuh nombor satu” Iran kerana menarik AS keluar dari perjanjian nuklear Iran serta menjatuhkan sekatan keras terhadap Teheran. Malah beliau turut mendakwa dirinya juga pernah jadi sasaran apabila sebuah dron Iran didakwa dilancarkan ke arah tingkap bilik tidurnya.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada agensi keselamatan AS termasuk FBI, CIA dan Pentagon yang mengesahkan dakwaan itu. Beberapa insiden seperti cubaan serangan ke atas Trump di Pennsylvania dan Florida sebelum ini masih dalam siasatan dan tidak dikaitkan secara langsung dengan Iran.

Apa tujuan Netanyahu buat dakwaan ini?

Beberapa penganalisis antarabangsa mengaitkan kenyataan ini sebagai cubaan Netanyahu untuk mengheret Amerika Syarikat secara terbuka ke dalam konflik dengan Iran. Israel kini sedang berhadapan tekanan ketenteraan dari Iran dan proksi serantau seperti Hizbullah dan memerlukan sokongan penuh dari Washington.

Ada juga yang melihat ia sebagai taktik politik Netanyahu untuk mengalih perhatian rakyat Israel daripada tekanan dalaman termasuk protes rakyat isu ekonomi dan konflik berpanjangan di Gaza. Mewujudkan naratif bahawa Iran cuba membunuh bekas presiden AS dianggap salah satu cara menekan pentadbiran Joe Biden agar mengambil pendirian lebih tegas terhadap Tehran.

“Kalau benar Iran arahkan serangan ke atas Trump mana bukti dari agensi AS? Mengapa hanya Netanyahu yang tahu?” soal seorang penganalisis yang enggan dinamakan.

Iran diam, AS tak sahkan

Setakat ini Iran tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi balas terhadap tuduhan Netanyahu. Di pihak AS pula tiada bukti terbuka yang mengesahkan Iran terlibat secara langsung dalam mana-mana cubaan membunuh Trump. Malah pada Oktober 2024, laporan menyebut bahawa Iran telah memberi jaminan bertulis kepada AS bahawa mereka tidak akan mencederakan atau membunuh Trump.

Adakah Netanyahu cuba heret AS ke medan perang?

Kenyataan Netanyahu ini selari dengan agenda diplomatik Israel yang mahu AS mengambil tindakan ketenteraan terhadap Iran. Dengan mencipta naratif bahawa Iran mengancam nyawa pemimpin AS Netanyahu dilihat sedang memainkan sentimen keselamatan untuk menggerakkan tekanan antarabangsa terhadap Tehran.

Related Posts