‘Terima kasih Trump, dunia akan aman’ – Netanyahu puji tindakan AS ke atas Iran | The Reporter

‘Terima kasih Trump, dunia akan aman’ – Netanyahu puji tindakan AS ke atas Iran

Netanyahu tersenyum dengan latar inset gambar Trump turut tersenyum
“Setiap kali dia senyum, mesti ada negara lain tengah berasap.”

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


• Netanyahu ucap tahniah kepada Trump atas serangan terhadap fasiliti nuklear Iran
• Anggap tindakan itu sebagai titik perubahan bersejarah untuk Timur Tengah
• Seruan “keamanan melalui kekuatan” ditegaskan sebagai prinsip utama

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memuji tindakan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mengarahkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran dan menyifatkannya sebagai keputusan berani yang bakal mengubah haluan sejarah.

Dalam satu kenyataan video awal pagi Ahad, Netanyahu menyampaikan penghargaan penuh kepada Trump dan memuji kekuatan ketenteraan Amerika Syarikat yang disifatkan luar biasa dalam Operasi Rising Lion.

Apa yang dikatakan Netanyahu dalam ucapannya?

Netanyahu menggambarkan tindakan ketenteraan Amerika itu sebagai pencapaian luar biasa yang belum pernah dilakukan oleh mana-mana negara. Menurutnya, dunia akan mengingati bahawa Presiden Trump telah bertindak menyekat rejim paling berbahaya daripada memiliki senjata paling berbahaya.

Beliau turut menegaskan kekuatan perlu ditunjukkan terlebih dahulu untuk mencapai keamanan, satu prinsip yang sering ditekankan oleh beliau dan Trump dalam hubungan strategik antara kedua-dua negara.

Kenyataan penuh Benjamin Netanyahu

“Tahniah Presiden Trump. Keputusan berani anda untuk menyasarkan fasiliti nuklear Iran dengan kekuatan hebat dan adil Amerika Syarikat akan mengubah sejarah.

“Dalam Operasi Rising Lion, Israel telah melakukan perkara-perkara yang menakjubkan. Tetapi dalam tindakan malam ini terhadap fasiliti nuklear Iran, Amerika benar-benar tiada tandingan.

“Amerika telah melakukan apa yang tiada negara lain mampu lakukan. Sejarah akan mencatat Presiden Trump bertindak menyekat rejim paling berbahaya di dunia daripada memperoleh senjata paling berbahaya.

“Kepimpinan beliau hari ini mencipta titik perubahan sejarah yang boleh membawa Timur Tengah dan dunia kepada masa depan kemakmuran dan keamanan.

“Presiden Trump dan saya sering berkata, ‘Keamanan melalui kekuatan.’ Pertama datang kekuatan, kemudian datang keamanan. Dan malam ini, Presiden Trump dan Amerika Syarikat bertindak dengan penuh kekuatan.

“Presiden Trump, saya ucapkan terima kasih. Rakyat Israel mengucapkan terima kasih. Kuasa-kuasa ketamadunan mengucapkan terima kasih.

“Tuhan memberkati Amerika. Tuhan memberkati Israel dan semoga Tuhan memberkati pakatan kukuh dan iman yang tidak boleh dipatahkan antara kita.”

Sumber: CNN World

Related Posts