Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Selebriti terkenal, Naim Daniel, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, pada 19 Mei lalu.
Naim, yang dikenali menerusi lagu Sumpah, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada jam 8.56 malam, 19 Mei 2024.
Kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan iaitu penahanan pasport serta larangan mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dalam apa jua bentuk.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin, serta menetapkan syarat tambahan seperti yang dicadangkan pihak pendakwaan. Sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Ogos 2025.
Terdahulu, tular mengenai dakwaan seorang pelakon dan penyanyi terkenal ditahan kerana disyaki melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Selangor. Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan.
Sumber: Harian Metro








