Muhyiddin tolak Hamzah kembali sertai PN | The Reporter

Muhyiddin tolak Hamzah kembali sertai PN

Muhyiddin Yassin memaklumkan mengenai pendirian menolak Hamzah Zainudin kembali menyertai Perikatan Nasional.
Gambar: Facebook Muhyiddin Yassin.

Presiden BERSATU, Muhyiddin Yassin, menegaskan beliau tidak dapat membayangkan kerjasama semula dengan bekas Timbalan Presiden parti itu, Hamzah Zainudin, dalam tempoh terdekat kerana sudah hilang kepercayaan terhadapnya.

Memetik laporan Berita Harian, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, beliau secara peribadi akan menolak sekiranya parti baharu yang bakal dipimpin Hamzah mahu menyertai Perikatan Nasional (PN). Katanya, keputusan menerima mana-mana parti ke dalam PN bukan hak individu, sebaliknya perlu dipersetujui semua parti komponen.

“Kalau dia nak masuk PN, saya akan jawab tidak boleh sebab sekali dikhianati, kita kena berwaspada,” katanya.

Parti baharu Hamzah & hubungan dengan PAS

Sebelum ini dilaporkan Hamzah, yang juga Ketua Pembangkang, dijangka memimpin Parti Keluarga Malaysia selepas dipecat daripada BERSATU bulan lalu.

Timbul spekulasi parti baharu itu mungkin menyertai PN susulan hubungan baik Hamzah dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan beliau tidak lagi mempercayai Hamzah walaupun bekas Menteri Dalam Negeri itu menafikan sebarang pengkhianatan sebelum ini.

“Saya perlu lindungi parti saya. Sebagai pengasas, saya tidak rela orang rosakkan BERSATU,” katanya.

Isu disiplin & dakwaan BERSATU lemah

Mengulas kemungkinan tindakan terhadap mana-mana pemimpin yang dilihat menyokong Hamzah, Muhyiddin berkata soal disiplin adalah proses berterusan dalam parti.

Beliau turut menolak dakwaan kononnya BERSATU semakin lemah susulan pemecatan beberapa pemimpin.

“BERSATU masih kukuh. Berapa ramai yang ikut beliau? Bukan semua Ahli Parlimen atau ADUN cabut lari,” katanya.

Baca juga:
Sedia serah kepimpinan kepada generasi muda

Dalam perkembangan sama, Muhyiddin memberi bayangan tidak akan menerajui parti selama-lamanya dan bersedia menyerahkan kepimpinan kepada generasi muda dalam tempoh terdekat.

Antara nama disebut sebagai pelapis termasuk Naib Presiden Mohd Radzi Jidin dan Ahmad Faizal Azumu, Setiausaha Agung Mohamed Azmin Ali, Ketua ARMADA Muhammad Hilman Idham serta Ahli MPT Afif Bahardin.

Katanya, walaupun masih berbaki tempoh kepimpinan, peralihan kuasa perlu dibuat secara teratur dan parti mesti cukup kuat sebelum diserahkan kepada barisan baharu.

Related Posts