Pelakon, Datin Seri Maria Farida, yang terkenal dengan raut wajahnya yang jelita, selalu menjadi perhatian netizen. Walaupun sudah berusia 55 tahun, ramai yang memuji kecantikan Maria yang seperti tidak pernah dimamah usia.
Dalam masa sama, Maria mendedahkan dia masih menerima gangguan daripada lelaki muda yang cuba mendekatinya.
Dalam satu temu bual eksklusif bersama OhBulan!, Maria mengakui ramai lelaki cuba mencuba nasib walaupun mengetahui dirinya sudah berumah tangga.
Namun begitu, Maria menegaskan dia langsung tidak tergugat dengan gangguan tersebut dan akan tetap setia bersama suaminya, Datuk Seri Rahman Sakur di mana rumah tangga mereka masih bahagia.
“Saya sering diganggu oleh lelaki yang mencuba nasib di media sosial. Namun, saya bahagia dengan rumah tangga saya dan apa yang ditawarkan (oleh mereka) tidak sama dengan apa yang suami saya berikan. Saya bahagia dan tidak perlukan semua itu,” katanya.
Bagi Maria, dia hanya mengaggap semua itu hanya sekadar gurauan nakal semata-mata. Tiada sebab untuk dia melayani gurauan sedemikian.
“Saya abaikan sahaja semua itu dan sudah biasa dengan gangguan sebegitu. Biasalah, mereka nak ajak ‘dating’, kahwin dan saya hanya gelak sahaja bila baca semua itu,” ujarnya.