Seorang lelaki di California tergamam apabila mengetahui selama 18 tahun menghuni di sebuah apartment, dia telah membayar jumlah bil melebihi penggunaan peribadinya.
Lagi mengejutkan apabila Ken Wilson sebenarnya telah membayar bil jirannya sekali. Wilson yang tinggal di unit 91 sebenarnya selama ini telah membayar bil ke meter unit 90.
Perkara tersebut mula terungkai apabila Wilson mendapati bil elektrik di rumahnya telah meningkat beberapa bulan lalu.
Wilson yang hanya tinggal seorang diri itu kemudiannya telah membeli satu peranti yang digunakan untuk memeriksa berapa banyak watt yang digunakan dalam rumahnya dan cuba mengurangkan penggunaan elektrik.
Bagaimanapun dia bingung apabila mendapati meter masih berjalan sedangkan pada ketika itu dia sudah mematikan suis.
Susulan itu, dia menghubungi syarikat Pacific Gas And Electric (PG&E) untuk pemeriksaan.
“Kami mendapati meter untuk apartment pelanggan juga telah ‘ditarik’ oleh kediaman lain, berkemungkinan sejak tahun 2009.
“Kami memohon maaf atas kesilapan ini dan menyesali sebarang kesulitan yang ditimbulkan,” tambah jurucakap PG&E.
Menerusi laporan ABC News, jurucakap PG&E menyatakan bahawa meter Wilson telah diperbaiki. Wilson hanya perlu membayar untuk penggunaan elektriknya sendiri dan sejumlah wang telah dikreditkan ke dalam akaunnya.