Kata orang, kalau rezeki sudah tertulis, ia pasti menjadi milik kita walaupun pelbagai halangan mendatang. Dan apabila sesuatu dilakukan dengan niat yang baik, insya-Allah segalanya dipermudahkan.
Begitulah kisah rezeki tidak disangka yang diterima oleh seorang lelaki apabila diumumkan sebagai pemenang hadiah utama berupa sebuah kereta Honda Civic 1.5E dalam satu peraduan yang dianjurkan oleh pempengaruh media sosial, Syahmi Sazli, pada Jumaat lalu.
Menerusi beberapa video siaran langsung di TikTok yang tular, lelaki berkenaan dikenali sebagai Zakaria, merupakan kakitangan di sebuah Jabatan Perikanan.
Baca juga:
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
- MMN bantah cadangan kemasukan terbuka jururawat Indonesia
Difahamkan, Zakaria membeli dua helai tudung yang dijual oleh isteri Syahmi, Anissa, sebelum namanya disebut sebagai pemenang utama dalam cabutan bertuah berkenaan.
Selain hadiah utama Honda Civic, pelbagai lagi hadiah lumayan turut ditawarkan dalam Peraduan Syahmi Sazli 2025 seperti Perodua Ativa, Proton Saga, Perodua Myvi, pakej umrah, dan wang tunai.
Untuk menyertai peraduan tersebut, peserta hanya perlu membeli mana-mana produk keluaran Syahmi dan isterinya.
Dalam pada itu, ramai netizen memuji sikap Zakaria yang disifatkan sebagai suami penyayang dan ikhlas membantu isteri, malah menerima ganjaran luar biasa.
“Bukti nyata Allah nak tunjuk bahawa berbuat baik kepada isteri, Allah akan gandakan rezeki yang tidak disangka atas asbab gembirakan hati isteri,” tulis seorang pengguna media sosial.











