Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki di China terpaksa menjalani pembedahan kecemasan selepas arteri di wajahnya pecah akibat tabiat suka mengorek hidung tanpa henti, lapor Oddity Central.
Lelaki dari Xianyang, wilayah Shaanxi itu dikatakan tidak boleh berhenti daripada kebiasaannya, sama ada sedang duduk, berdiri, atau berbaring. Namun, obsesinya membawa padah apabila satu hari dia mengalami pendarahan hidung yang teruk dan tidak berhenti, meskipun pelbagai usaha dilakukan oleh dirinya dan isteri.
Bimbang keadaan semakin buruk, mereka bergegas ke hospital. Pemeriksaan kemudian mendapati arteri di dalam hidungnya telah pecah, menyebabkan pendarahan sukar dihentikan. Doktor segera menjalankan pembedahan kecemasan bagi menangani masalah tersebut.
Isterinya yang terkejut dengan insiden itu sempat merakam pengalaman mereka di hospital, malah berseloroh dengan suaminya selepas pembedahan.
“Abang, kenapa tak korek hidung? Cepatlah bangun, koreklah lagi.” Video itu kemudian dikongsi di media sosial sebagai peringatan kepada orang ramai.
Menurut pakar kesihatan, mengorek hidung secara berlebihan bukan sahaja meningkatkan risiko jangkitan, tetapi juga boleh merosakkan mukosa hidung dan saluran darah. Dalam kes yang lebih serius, ia boleh menyebabkan arteri pecah seperti yang dialami lelaki berkenaan.








