Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerima kunjungan daripada Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
Menurut Zahid, kunjungan tersebut adalah contoh makna sebenar konsep ‘Rumah Bangsa’, yang bertujuan menyatukan semula mereka yang pernah berpisah, merapatkan yang pernah berjauhan, serta menghimpunkan ahli parti dalam satu keluarga besar perjuangan.
“Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan,” katanya.
Beliau berkata, secara peribadi, permohonan Khairy telah diterima dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa, yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Haji Mohamed Khaled Nordin, untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya.
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
Dalam pada itu, Zahid menekankan bahawa dalam perjalanan perjuangan politik, yang utama adalah mencari jalan penyatuan dan bukan membiarkan perpecahan berterusan.
Beliau berharap konsep Rumah Bangsa menjadi asas untuk mempertemukan semula hati-hati yang pernah terpisah, memperkukuh saf perjuangan, dan mengembalikan kekuatan UMNO sebagai induk politik orang Melayu dan umat Islam di tanah air.
Terdahulu, UMNO membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama parti itu.
Zahid menyatakan sempena keberkatan bulan Ramadan, UMNO melihat tempoh ini sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan semula tali perjuangan dalam kalangan ahlinya.











