Bintang TikTok paling popular dunia, Khaby Lame, didakwa telah ditahan oleh pihak Imigresen dan Kastam Amerika Syarikat (ICE) di Las Vegas, namun sehingga kini tiada pengesahan rasmi daripada mana-mana pihak berkuasa berkaitan perkara itu.
Spekulasi tentang penahanan itu mula tersebar selepas seorang aktivis konservatif bernama Bo Loudon mendakwa di platform X bahawa Khaby masuk ke Amerika tanpa izin dan kini ditahan di Pusat Tahanan Henderson, Nevada.
Loudon turut memuat naik tangkap layar yang dikatakan dari laman pencarian tahanan ICE, menunjukkan nama dan butiran Khaby. Namun, semakan bebas oleh beberapa media antarabangsa tidak menemui sebarang rekod rasmi penahanan melalui laman tersebut, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan dakwaan itu.
Sehingga kini, pihak ICE dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan tersebut. Wakil Khaby juga belum memberi sebarang respons kepada media.
Siapa Khaby Lame?
Khaby Lame, 24, ialah pencipta kandungan berasal dari Senegal yang membesar di Itali dan kini memegang kewarganegaraan Itali. Beliau terkenal dengan video sindiran ‘tanpa suara’ yang memparodikan video rumit di TikTok dan kini memiliki lebih 162 juta pengikut, menjadikannya akaun TikTok paling ramai pengikut di dunia.
Khaby juga pernah tersenarai dalam senarai ‘Forbes 30 Under 30’ dan dilantik sebagai Duta Muhibah UNICEF pada awal 2025. Popularitinya menjadikan sebarang isu yang melibatkannya mendapat perhatian meluas dunia.








