Ahli perniagaan sensasi, Datuk Seri Vida, tampil meluahkan rasa sedih setelah menonton video TikToker ‘Abang Bas’ dibebaskan dan berpelukan dengan ibunya.
Walaupun ramai yang mengecam lelaki itu, dia berasa kasihan dan percaya pemuda berkenaan ikhlas menyayangi kanak-kanak dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Instagramnya baru-baru ini.
“Pasal isu ‘Abang Bas’ ini saya sebenarnya tengok daripada jauh saja. Ada yang berkata begitu dan begini. Bermacam-macam pendapat, ada yang kecam dan sokong.
“Saya terpanggil membuat video ini apabila saya tengok pelukan ‘Abang Bas’ itu dengan mak dia. Hati saya ini, sebagai seorang ibu yang ada anak bujang, kita tahu pe’el kalau orang yang menyayangi, yang kasih sayangnya ikhlas dan sememangnya seorang yang penyayang, tengoklah dia cium ibunya sebanyak dua kali itu.
“Dua kali dia mencium ibunya selepas berpelukan. Itu membuatkan saya terfikir.. kasihan dia. Disebabkan posting-posting seperti itu telah membuatkan orang salah faham dan dia ditahan, serta dibicara (di mahkamah),” katanya.
Bagaimanapun, Vida enggan menyentuh mengenai tuduhan yang dikenakan terhadap ‘Abang Bas’. Malah, mengakui dia sendiri juga tidak memahami apa maksud perkataan ‘crush’.
“Sebagai seorang ibu, kuat hati saya mengatakan dia menyayangi budak-budak. Tentang sentuhan itu, kita serahkan pada Yang Arif. Saya tak nak sentuh tetapi, saya nak tengok dari segi sifat orang penyayang.
“Tentang perkataan ‘crush’, saya rasa perkataan ‘crush’ itu sedap disebut. Tetapi saya pun tak tahu apa maksudnya. Saya selalu dengar Kacak, Cik B cakap ‘crush’. Saya ingat crush tu… tak tahu apa maksudnya. Biar orang nak kata saya jahil pun,” ujarnya.








