Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis | The Reporter

Warga emas maut disambar buaya ketika cari siput, anak saksikan detik tragis

Wanita warga emas maut disambar buaya ketika mencari siput di Batu Niah
Gambar: Facebook Sarawak Update

Hasrat seorang ibu warga emas untuk mencari siput bersama anaknya berakhir dengan tragedi apabila dia disambar seekor buaya di sebuah anak sungai cabang Sungai Suai, berhampiran Batu Niah pada Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.26 pagi itu, Sambai Anggah, 78, berada di dalam sebuah perahu ketika reptilia berkenaan tiba-tiba muncul lalu menyambarnya.

Memetik laporan Sarawak Update, detik cemas itu disaksikan sendiri anak mangsa yang ketika itu berada di dalam sungai, kira-kira satu meter dari perahu, sebelum buaya berkenaan mengheret ibunya sejauh kira-kira 10 meter.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, penduduk kampung yang berada berhampiran kemudian bertindak mengepung buaya berkenaan dalam usaha menyelamatkan mangsa.

Baca juga:

Tindakan itu dipercayai menyebabkan reptilia berkenaan melepaskan mangsa, sebelum penduduk menemui wanita terbabit dalam keadaan terapung dan membawanya ke jeti berhampiran.

JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada jam 11.26 pagi sebelum lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah bergerak ke lokasi.

Operasi ditamatkan pada 1.45 tengah hari dan mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sumber: Sarawak Update, Sinar Harian

Related Posts