Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah membangkitkan persoalan mengenai pengaruh politik dalam pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH), khususnya berkaitan pelantikan dan campur tangan pihak berkepentingan dalam institusi berkenaan.
Ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji di Dewan Rakyat, beliau turut mengaitkan isu tersebut dengan pengalaman yang dilaluinya ketika bertanding sebagai Ketua Bahagian UMNO Jerai pada masa lalu.
Beliau mendakwa terdapat seorang menteri yang menyokong pihak yang menentangnya, termasuk dakwaan tawaran untuk membawa ketua-ketua cawangan menunaikan haji.
“Boleh dikatakan 99 peratus ketua-ketua cawangan pergi ke Mekah,” katanya ketika menceritakan pengalaman berkenaan.
Beliau berkata, terdapat individu yang datang menemuinya dan memaklumkan bahawa mereka tidak dapat menyokongnya kerana terhutang budi kepada seorang menteri yang membantu mereka mendapatkan peluang ke Mekah.
Baca juga:
- ‘Hampir 99% ke Makkah’- MP Langkawi dedah kisah pemilihan parti ketika bahas RCI TH
- Pertikai rakan sekerja kerap cuti jaga anak, kenyataan wanita undang kecaman netizen
- Tular video pemancing jumpa kucing kelaparan di Pulau Ketam, 10 ekor berjaya diselamatkan
Suhaimi berkata pengalaman tersebut menyebabkan beliau memahami bagaimana pengaruh politik boleh memainkan peranan dalam sesuatu pertandingan politik, termasuk apabila kepentingan tertentu digunakan untuk mendapatkan sokongan.
“Saya sedih kerana orang kampung tak tahu. Ada menteri offer pergi ke Mekah. Siapa terima, siapa tak nak,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merujuk kepada tiga nama yang disebut dalam laporan berkenaan termasuk Ketua Bahagian dan Timbalan Ketua Bahagian.
“Saya hanya dapat berdoa, Ya Allah, ya Tuhanku, Engkau tunjukkanlah satu hari perkara-perkara ini akan timbul. Alhamdulillah, ia timbul pada 11 Ogos ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa pendedahan laporan RCI itu perlu dilihat sebagai peluang untuk memahami kelemahan yang pernah berlaku dalam pengurusan Tabung Haji serta memastikan perkara sama tidak berulang.









