Kenapa bomba California tak guna air laut untuk padam kebakaran? Ini sebabnya | The Reporter

Kenapa bomba California tak guna air laut untuk padam kebakaran? Ini sebabnya

Guna air laut untuk kebakaran

Pegawai bomba di Los Angeles menghadapi cabaran besar iaitu kekurangan bekalan air dalam usaha memadamkan hampir enam kebakaran besar yang sedang marak.

Kebakaran hutan kini meliputi lebih 36,386 ekar di Daerah Los Angeles. Setakat ini, 16 orang dilaporkan maut, dan lebih 10,000 bangunan musnah akibat kebakaran ini. Gabenor Gavin Newsom memberitahu CNN bahawa bekalan air untuk memadam kebakaran telah habis digunakan.

“Sistem bekalan air ini biasanya cukup untuk dua atau tiga kebakaran, atau mungkin satu kebakaran besar. Tapi untuk situasi seperti ini, memang tak mencukupi,” katanya.

Imej satelit menunjukkan kebakaran berlaku hanya beberapa kilometer dari Lautan Pasifik. Namun, walaupun laut berada dekat, mengapa air laut tidak digunakan untuk memadam kebakaran?

Air laut tidak sesuai?

Walaupun air laut boleh digunakan, tetapi ia mengandungi garam yang boleh merosakkan peralatan bomba seperti pam air dan pesawat pemadam kebakaran. Menurut laman web Technology.org, garam juga mengurangkan kesan penyejukan air, menjadikan air laut kurang berkesan untuk memadam api.

Selain itu, air laut lebih mudah menghantar cas elektrik, yang meningkatkan risiko kepada anggota bomba yang sedang bertugas.

Kesan buruk kepada alam sekitar

Menggunakan air laut juga boleh memberi kesan negatif kepada tanah dan alam sekitar. Apabila garam dari air laut meresap ke dalam tanah atau aliran air berhampiran, ia menyukarkan tumbuhan menyerap air dan nutrien.

Tanah yang tinggi kandungan garam menjadi toksik, menghalang pertumbuhan pokok baharu dan menyukarkan air untuk menyerap ke dalam tanah.

Walaupun jarang, air laut kadangkala digunakan untuk memadamkan kebakaran jika tiada pilihan lain. Namun, penggunaannya perlu berhati-hati agar kesan buruk terhadap peralatan dan alam sekitar dapat diminimumkan.

Related Posts