Kalau anda selalu minum air sebelum tidur, anda perlu baca info ini | The Reporter

Kalau anda selalu minum air sebelum tidur, anda perlu baca info ini

Minum air sebelum tidur
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Warna air kencing yang lebih gelap pada waktu pagi berbanding siang hari adalah perkara biasa. Walaupun ia sering dikaitkan dengan tahap hidrasi yang kurang memuaskan, mengambil air terlalu hampir dengan waktu tidur atau meletakkan segelas air di tepi katil untuk diminum sebelum tidur mungkin bukan pilihan terbaik.

Apa kesan buruk minum air sebelum tidur?

Minum air pada lewat malam bukanlah sesuatu yang tidak sihat, tetapi ia boleh menyebabkan anda terbangun di tengah malam untuk ke bilik air. Gangguan ini boleh menjejaskan kualiti tidur, yang seterusnya mempengaruhi kesihatan secara keseluruhan.

Menurut pakar imunologi integratif, Dr. Heather Moday, berkata tidur berkualiti tinggi memberi peluang kepada sel imun badan untuk menumpukan tenaga mereka dalam memperkukuh tindak balas imun. Sebaliknya, gangguan tidur boleh menjejaskan kesihatan usus, yang penting untuk keupayaan berfikir, imuniti, dan penghadaman.

Selain itu, pakar perubatan keluarga, Dr. Robert Rountree, menegaskan kualiti tidur lebih penting daripada jumlah jam tidur.

“Apa yang lebih penting ialah berapa banyak tidur nyenyak dan tidur Rapid Eye Movement (REM – fasa tidur di mana otak sangat aktif, mata bergerak cepat di bawah kelopak mata, dan kebanyakan mimpi berlaku. Fasa ini penting untuk pemulihan mental, pembelajaran, dan ingatan) yang anda dapat,” katanya.

Gangguan pada kitaran tidur, seperti terbangun untuk membuang air kecil, boleh menyebabkan rasa letih walaupun anda tidur lapan jam penuh.

Bilakah patut berhenti minum air?

Masa terbaik untuk berhenti minum air bergantung kepada umur, status kesihatan, dan aktiviti fizikal seseorang. Secara amnya, pakar urologi, Dr. Vannita Simma-Chiang, mencadangkan untuk mengambil tegukan terakhir air tiga hingga empat jam sebelum tidur.

Namun, Dr. Simma-Chiang mengingatkan, “Jika anda merasa dahaga atau tekak kering, tetaplah minum air. Hanya pastikan untuk ke bilik air sejurus selepas itu bagi mengelakkan gangguan pada waktu malam.” – Agensi

Related Posts