Seorang isteri di Kota Solo, Jawa Tengah, Indonesia nekad memotong kemaluan suaminya kerana tidak mahu diceraikan.
Ketua Polis Resor Kota, Iwan Saktiadi berkata, kejadian itu berlaku pada Selasa, 16 Mei 2023, kira-kira jam 4.30 pagi.
Kejadian itu membabitkan wanita berusia 34 tahun dari Lumajang, Jawa Timur, dan suaminya berusia 20 tahun berasal dari Malaya, Kabupaten Jembrana, Bali.
Iwan menjelaskan, pasangan berkenaan terdahulu bertengkar ketika mencari keberadaan ibu bapa mangsa di Kabupaten Sukoharjo, Jawa Tengah.
Memandangkan pertengkaran itu tidak berakhir dan merasakan mereka sudah tidak lagi mempunyai keserasian, mangsa meminta isterinya pulang ke Bali sendirian dengan menaiki bas.
“Suspek menaiki bas, namun semasa dalam perjalanan dia cuba menghubungi mangsa dan memujuknya agar kembali bersama. Mereka kemudian berjumpa di sebuah hotel,” katanya.
Pada jam 12 tengah hari, suspek mendaftar masuk di sebuah hotel di Kota Solo, Isnin, 15 Mei 2023. Keesokan harinya, kira-kira jam 1 pagi, mangsa datang ke hotel dan mengambil peluang untuk tidur.
“Jam 4.30 pagi, Selasa, 15 Mei 2023 ketika mangsa sedang tidur lena, suspek mengambil pisau dan memegang kemaluan mangsa lalu dipotong menyebabkan mangsa terjaga lalu menjerit,” katanya.
Suspek tiba-tiba menjadi panik dan terus menghubungi pekerja hotel untuk meminta bantuan menghubungi talian kecemasan sebelum mangsa dibawa ke hospital berdekatan.
Ekoran daripada kejadian itu, suspek telah ditahan polis untuk membantu siasatan lanjut. Polis turut merampas beberapa barang bukti untuk tindakan lanjut.
Sumber: Kompas








