Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Trump dakwa Israel kini lebih selamat selepas tiga tapak nuklear Iran dimusnahkan
• Iran balas dengan serangan peluru berpandu ke Tel Aviv, Haifa dan Beersheba
• 20 orang cedera, Iran beri amaran serangan balas akan berterusan jika diprovokasi
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mendakwa pihaknya telah mencapai kejayaan besar selepas melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear utama Iran iaitu Fordow, Natanz dan Isfahan dalam satu operasi ketenteraan semalam.
Dalam satu panggilan telefon kepada wartawan Israel, Barak Ravid, Trump berkata, “Kami capai kejayaan besar malam ini. Israel kini jauh lebih selamat.”
Serangan itu menggunakan enam pengebom B-2 yang dilengkapi bom khas ‘bunker buster’ untuk memusnahkan sasaran di bawah tanah. Trump turut memberi amaran jika Iran enggan berdamai, serangan akan diteruskan dengan lebih besar pada masa akan datang.
Iran tak tunggu lama, terus balas
Beberapa jam selepas kenyataan itu dikeluarkan, Iran melancarkan serangan peluru berpandu ke atas beberapa bandar utama di Israel termasuk Tel Aviv, Haifa dan Beersheba. Letupan kuat dilaporkan dan siren kecemasan dibunyikan di seluruh kawasan terjejas.
Sekurang-kurangnya 20 orang dilaporkan cedera dalam serangan balas Iran itu, menurut perkhidmatan kecemasan Israel. Polis turut mengesahkan serpihan senjata jatuh berhampiran pelabuhan Haifa dan pasukan penyelamat segera digerakkan ke lokasi.
Iran memberi amaran kepada Amerika Syarikat dan Israel, tindakan balas ini hanyalah permulaan dan akan ada “akibat yang berpanjangan” sekiranya provokasi diteruskan.
Dalam pada itu, Pusat Keselamatan Nuklear Iran dan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengesahkan tiada peningkatan tahap radiasi dikesan selepas serangan ke atas fasiliti nuklear Iran.
Sumber: Al-Jazeera, News Meaww








