Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Israel kini berdepan krisis alam terbesar dalam dekad ini selepas kebakaran hutan besar memaksa kerajaan mengisytiharkan darurat nasional, memindahkan ribuan penduduk, dan mengaktifkan operasi kecemasan berskala besar. Api yang marak sejak tiga hari lalu semakin menghampiri ibu kota dan membakar lebih 5,000 ekar kawasan hijau, termasuk ladang dan penempatan luar bandar.
Situasi menjadi lebih genting apabila beberapa kawasan bersejarah dan lokasi sensitif dilaporkan terancam. Ketika ini, lebih 500 anggota bomba digerakkan bersama bantuan udara bagi menyekat kemaraan api. Hospital tempatan juga mula menerima pesakit yang mengalami sesak nafas dan simptom terhidu asap berlebihan.
Kebakaran yang disifatkan sebagai antara terburuk sejak 2010 itu berlaku ketika suhu mencecah paras ekstrem dan angin kencang bertiup dari arah barat. Pihak berkuasa mengesyaki bahawa beberapa titik kebakaran berpunca daripada perbuatan khianat, menjadikan insiden ini bukan sekadar bencana alam semata-mata.
Israel isytihar darurat nasional
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam sidang media tergempar mengisytiharkan darurat nasional dan mengarahkan semua agensi berkaitan memberi keutamaan kepada operasi menyelamat dan pengawalan api.
Arahan pemindahan segera telah dikeluarkan kepada penduduk di kawasan Beit Meir, Shoeva, dan pinggir Jerusalem. Penampan api dibina, manakala jalan utama ke beberapa kawasan ditutup untuk laluan kenderaan kecemasan.
Rayu bantuan antarabangsa
Menyedari skala krisis yang besar, Israel segera menghubungi beberapa negara sahabat bagi mendapatkan bantuan antarabangsa. Setakat ini, Itali, Perancis, Croatia, Cyprus, Sepanyol dan Ukraine telah menghantar pesawat pemadam kebakaran dan tenaga bantuan ke Israel.
Sebanyak 18 pesawat – 10 dari Israel dan 8 dari luar negara – kini digunakan dalam operasi menyekat kebakaran dari udara. Operasi ini disifatkan sebagai antara yang paling intensif pernah dilakukan sejak dekad lalu.
Menteri Luar Israel menyatakan penghargaan kepada negara-negara terlibat dan menegaskan bahawa solidariti antarabangsa amat penting dalam menghadapi bencana besar seperti ini.
Suspek berjaya diberkas
Dalam perkembangan mengejutkan, pihak berkuasa mengesahkan penahanan beberapa individu yang disyaki sengaja mencetuskan kebakaran. Antara yang ditahan termasuk seorang lelaki dari Jerusalem Timur yang dipercayai cuba memulakan kebakaran baru di kawasan ladang.
Menteri Keselamatan Nasional, Itamar Ben Gvir, memaklumkan bahawa sehingga kini seramai 18 orang telah ditahan bagi membantu siasatan. Beberapa daripada mereka dipercayai mempunyai motif ideologi dan berkemungkinan besar menjadi dalang kepada kebakaran yang berlaku serentak di beberapa lokasi strategik.
Polis kini sedang menyiasat sama ada terdapat jaringan terancang yang bertanggungjawab ke atas siri kebakaran ini. Bukti awal seperti bahan mudah terbakar dan rakaman CCTV menjadi asas utama siasatan.
Dengan bantuan antarabangsa yang tiba secara berperingkat dan siasatan menyeluruh sedang dijalankan, Israel kini berusaha sehabis baik untuk menstabilkan keadaan. Semua pihak diharap terus bersiap siaga, kerana cuaca ekstrem diramalkan berterusan hingga hujung minggu ini.
Sumber : The Sun UK, Kosmo, Berita Harian








