Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Gambar dan video seekor buaya yang kelihatan kurus hingga menampakkan tulang belakang dan tulang rusuknya telah mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan pengguna media sosial di China.
Reptilia itu dilaporkan berada di Zoo Guangzhou, dan keadaannya yang menyayat hati menimbulkan persoalan tentang tahap penjagaan haiwan di zoo berkenaan.
Salah satu video yang dikongsi menunjukkan buaya itu bergerak perlahan di dalam kandangnya. Individu yang merakam dan memuat naik video tersebut meluahkan rasa bimbang terhadap kesihatan haiwan itu.
Di media sosia, netizen yang menuduh pihak zoo bersikap cuai sama ada dengan membiarkan buaya itu kelaparan atau tidak mengambil tindakan sewajarnya untuk merawatnya.
Sebagai respons kepada kritikan, Zoo Guangzhou mengeluarkan kenyataan bahawa buaya itu tidak dianiaya. Menurut pihak zoo, keadaan fizikalnya yang menyedihkan berpunca daripada masalah gastroenteritis, sejenis penyakit yang lazimnya disebabkan oleh bakteria atau virus. Penyakit ini mengakibatkan muntah dan cirit-birit yang membawa kepada penurunan berat badan yang drastik.
“Buaya itu kini sedang menerima rawatan dan akan diberi penjagaan rapi pada masa akan datang,” ujar jurucakap zoo kepada wartawan tempatan.
Walau bagaimanapun, penjelasan ini tidak banyak meredakan kemarahan netizen. Ramai yang skeptikal terhadap alasan yang diberikan dan ada yang mempertikaikan berapa lama pihak zoo membiarkan gastroenteritis buaya tersebut tidak dirawat sebelum bertindak. – Agensi








