Filem Niu Lai dikecam kerana animasi, tiba-tiba meletup di pawagam China | The Reporter

Filem Niu Lai dikecam kerana animasi, tiba-tiba meletup di pawagam China

Babak dalam filem Niu Lai
Gambar: South China Morning Post

Sebuah filem animasi buatan China, Niu Lai (牛来), mencetuskan fenomena luar biasa apabila karya bajet rendah yang pada awalnya hampir tidak mendapat sambutan tiba-tiba menjadi tumpuan penonton selepas kualiti animasinya dikritik hebat di media sosial.

Filem berdurasi 86 minit itu mula ditayangkan pada 5 Ogos lalu tanpa kempen promosi besar-besaran, jelajah publisiti atau treler. Dalam sembilan hingga 10 hari pertama, filem berkenaan hanya meraih sekitar 7,700 yuan dengan kurang 300 penonton membeli tiket di seluruh China.

Keadaan berubah apabila beberapa penonton berkongsi rakaman dan ulasan mengenai filem tersebut di media sosial, khususnya berkaitan animasi yang dianggap kaku, kualiti visual yang kasar serta jalan cerita yang sukar difahami. Kritikan itu kemudian bertukar menjadi fenomena apabila semakin ramai membeli tiket semata-mata kerana ingin melihat sendiri sama ada filem berkenaan benar-benar ‘seburuk’ yang diperkatakan.

Bahan perbulan netizen

Fenomena tersebut menjadikan Niu Lai bahan perbualan dalam talian dan secara tidak langsung menghasilkan publisiti percuma. Kutipan filem itu melonjak dengan pantas sehingga melepasi 14.9 juta yuan (sekitar AS$2.1 juta), menurut data platform tiket filem China, Maoyan.

Lebih menarik, filem berkenaan dilaporkan dihasilkan hanya oleh dua individu, iaitu Xin Yumeng bersama ibunya, Sun Lifang. Mereka mengambil masa kira-kira lima tahun untuk menyiapkan filem tersebut selain menggalas pelbagai tugas termasuk penulisan, pengarahan, penerbitan dan lakonan suara.

Niu Lai mengisahkan seekor anak lembu yang baru lahir dan seekor burung skylark dalam sebuah kisah berbentuk mimpi, dengan tema seperti kasih sayang, keberanian, ketabahan dan pengorbanan. Gaya penghasilannya yang kelihatan dibuat secara manual menjadi antara perkara yang menarik perhatian penonton, khususnya ketika industri animasi kini semakin didominasi karya berteknologi tinggi.

Baca juga:
Ketiadaan bahan promosi rasmi turut menyaksikan kakitangan beberapa pawagam menghasilkan poster sendiri untuk filem berkenaan. Gambar: X Patrick Westwood

Fenomena itu berlaku ketika beberapa filem berprofil tinggi turut bersaing hebat di pasaran China. The Odyssey arahan Christopher Nolan meraih 192 juta yuan sepanjang hujung minggu pembukaan rasmi selama tiga hari dan menduduki tempat kedua, di belakang filem tempatan Once Upon a Time in the Middle East yang mengutip 477.9 juta yuan dalam tempoh sama.

Kejayaan Niu Lai bagaimanapun bukan sekadar mengenai angka kutipan, sebaliknya mencetuskan perdebatan mengenai bagaimana budaya internet dan rasa ingin tahu penonton mampu mengubah nasib sesebuah filem. Ada yang melihatnya sebagai reaksi terhadap karya animasi yang terlalu kemas dan seragam, manakala sebahagian pemerhati industri mempersoalkan sama ada populariti yang berpunca daripada ejekan boleh dianggap sebagai kejayaan sebenar.

Apa yang pasti, filem yang pada awalnya hampir tenggelam tanpa publisiti itu kini berjaya mencuri perhatian di tengah-tengah persaingan filem blockbuster China. Ironinya, kritikan terhadap kualiti Niu Lai akhirnya menjadi faktor utama yang membawa penonton ke pawagam dan menukar sebuah produksi kecil ibu dan anak kepada fenomena box office yang tidak dijangka.

Sumber: The Guardian

Related Posts