FIFA membuka siasatan berhubung dakwaan insiden penghinaan berbaur perkauman yang melibatkan pempengaruh media sosial Amerika Syarikat, IShowSpeed, ketika perlawanan Piala Dunia FIFA antara Argentina dan Cape Verde pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, pihaknya dimaklumkan mengenai satu insiden yang melibatkan seorang penyokong dan IShowSpeed di Stadium Miami pada 3 Julai 2026, ketika perlawanan pusingan 32 terbaik yang menyaksikan Argentina menewaskan Cape Verde 3-2.
“FIFA mengecam sekeras-kerasnya perkauman, kebencian dan diskriminasi dalam apa jua bentuk. Tindakan sedemikian tidak mempunyai tempat dalam bola sepak, di Piala Dunia FIFA, atau di mana-mana sahaja dalam masyarakat,” kata FIFA dalam kenyataan rasmi.
Menurut FIFA, siasatan segera dimulakan selepas pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut.
“Piala Dunia FIFA adalah sambutan terhadap perpaduan, kepelbagaian dan rasa hormat. Ia menghimpunkan masyarakat, budaya serta komuniti dari seluruh dunia, dan sesiapa sahaja yang bertindak dengan cara yang menjejaskan nilai-nilai ini tidak dialu-alukan dalam sukan kami,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- FIFA siasat dakwaan penghinaan berbaur perkauman terhadap IShowSpeed
- ‘Tiada keadilan!’ – Hossam Hassan ikrar tidak akan tonton Piala Dunia lagi
- Senator Paraguay tuntut permohonan maaf Kylian Mbappé susulan komen kontroversi
Insiden berkenaan turut tular menerusi rakaman yang dimuat naik di saluran YouTube IShowSpeed, yang menunjukkan pempengaruh berusia 21 tahun itu memakai jersi Cape Verde sebelum berdepan dengan seorang penyokong Argentina di tempat duduk penonton.
IShowSpeed, yang mempunyai lebih 57 juta pelanggan di YouTube dan 53 juta pengikut di TikTok, sebelum ini mencuri perhatian sepanjang kejohanan apabila melakukan siaran langsung beberapa perlawanan Piala Dunia. Beberapa tokoh bola sepak terkenal termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino, serta bekas penyerang Barcelona dan AC Milan, Zlatan Ibrahimovic, turut muncul dalam siarannya.
Dakwaan penghinaan terhadap IShowSpeed berlaku beberapa hari selepas penyerang Perancis, Kylian Mbappé, mengecam seorang senator Paraguay, Celeste Amarilla, susulan kenyataan yang didakwa berbaur perkauman terhadapnya.
Amarilla, yang merupakan ahli Parti Liberal Radikal Paraguay, memuat naik kenyataan di media social selepas Paraguay tewas kepada Perancis dalam pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Sumber: BBC Sport, X Vidol, FIFA Media









