Donald Trump dikecam di media sosial selepas mencadangkan jalan penyelesaian kepada masalah jenayah di Amerika, di mana cadangan itu dilihat menyerupai plot filem The Purge.
Semasa perhimpunan di Pennsylvania semalam, Ahad, Trump mencadangkan satu kaedah untuk mengurangkan aktiviti jenayah dengan membenarkan polis menangani isu tersebut dalam ‘satu jam yang sukar’ (kurang sekatan).
“Satu jam yang sukar dan saya maksudkan benar-benar sukar, berita akan tersebar dan ia akan berakhir serta-merta,” kata Trump.
Pengguna media sosial dengan pantas menterjemahkan kenyataan Trump itu bermaksud rakyat bebas bertindak tanpa hukuman untuk jangka masa singkat, sama seperti plot filem The Purge.
Seorang pengguna di X turut memuat naik peringatan tentang sinopsis asal filem The Purge:
“Amerika dilanda jenayah dan penjara yang sesak, kerajaan membenarkan tempoh tahunan selama 12 jam di mana semua aktiviti jenayah termasuk pembunuhan adalah sah (dilakukan)” – menurut sinopsis filem tersebut.
“Trump secara jelas mencadangkan The Purge, mungkin dia baru habis tonton filem tu dan berkata, ‘Mungkin kita patut mencuba’,” kata seorang pengguna X.
Ada juga yang memaklumkan, salah satu daripada beberapa sekuel filem itu yang ditayangkan pada 2016 bertajuk The Purge: Election Year, iaitu tahun yang sama Trump dipilih sebagai presiden.
Slogan filem itu, “Keep America Great”, mendapat perhatian daripada internet dan media apabila ia menjadi slogan yagn digunakan oleh Trump untuk kempen pemilihan semula 2020 beliau.
“The Purge: Election Year keluar pada 2016. Trump mencuri motonya pada 2020 dan plotnya pada 2024,” tulis seorang pengguna media sosial. – Agensi