'Dah lebih 30 tahun saya tak tidur' | The Reporter

‘Dah lebih 30 tahun saya tak tidur’

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Seorang wanita Vietnam, Nguyen Ngoc My Kim, 49, telah digelar sebagai ‘mutan’ kerana kemampuannya untuk tidak tidur selama tiga dekad.

Kim yang dikenali sebagai “tukang jahit yang tidak pernah tidur” di wilayah asalnya, Long An dan dia menerima gelaran tersebut dengan senang hati kerana ia sesuai dengan dirinya.

Setiap kali kisahnya mendapat perhatian media, Kim mengesahkan dia tidak tidur selama beberapa dekad dan menambah bahawa kekurangan tidur tidak menjejaskan kesihatannya.

Namun, Kim turut menjelaskan dia bukannya dilahirkan dengan kemampuan sedemikian. Sebaliknya sejak dari kecil lagi, dia melatih dirinya untuk berjaga malam kerana minat membaca dan kemudian bekerja sebagai tukang jahit untuk menyiapkan tempahan.

“Setiap malam, saya duduk di hadapan mesin jahit dan tidak berani tidur kerana takut tidak dapat menyiapkan tempahan,” katanya.

Pada mulanya, Kim menghadapi banyak kesukaran seperti mengantuk, membuat kesilapan semasa menjahit dan sering berasa letih serta pening. Namun, selepas berjaga selama berbulan-bulan dan bertahun-tahun, badan dia akhirnya menerima rutin hariannya itu.

Insomnia Kim yang berlarutan selama beberapa dekad belum disahkan secara perubatan, tetapi ia lebih daripada sekadar khabar angin. Kim mendakwa, orang ramai boleh melihatnya dia bekerja sepanjang hari dan malam di kedai jahitnya di Long Cang, Long An. Pintu gerainya sentiasa terbuka dan lampu sentiasa menyala, membolehkan orang ramai melihatnya bekerja.

Pada awalnya, hanya sedikit orang yang memberi perhatian kepada ‘kebolehannya’ itu. Tetapi, apabila ramai yang menyedari Kim sentiasa berada di kedainya, mereka mula menyebarkan berita tersebut. Dan tidak lama kemudian, Kim menjadi terkenal kerana kemampuannya untuk berjaga tanpa tidur.

Berita mengenai Kim yang tidak tidur selama 30 tahun baru-baru ini menjadi viral di media sosial Vietnam, menyebabkan dia sekali lagi didatangi oleh pelawat dari pelbagai tempat yang ingin bertemu dengannya dan mengesahkan kebenaran khabar angin tersebut.

Sumber: Oddity Central

Related Posts