Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang individu meluahkan rasa kecewa dan tidak puas hati terhadap tindakan pihak berkuasa yang didakwa tidak adil dalam isu menyita sebuah mesin excavator milik rakannya.
Muhammad Khairul Jamain yang merupakan pakar hartanah dan pelaburan serta jurulatih penjenamaan diri turut mempersoalkan tindakan penguatkuasaan dan layanan berbeza dengan isu yang dihadapinya berbanding isu pencerobohan yang berlaku di Dengkil dan Raub.
“Berkenaan isu pencerobohan tanah dan layanan yang tidak adil, bila isu di Dengkil dan Raub viral saya berasa sangat kecewa sebab layanan yang diberi sungguh berbeza dengan kes saya dan sahabat saya seorang pemilik excavatur yang hanya ingin membuat jalan ke tanah saya.
“Kami tidak mencuri hasil tanah selama 30 tahun, tidak memanggil YB untuk mempertahankan kesalahan kami malah kami tak buat bela lembu atau buat rumah sewa untuk dapatkan duit sekali pun,” katanya.
Kongsinya, isu ini bermula apabila beliau cuba membina jalan masuk ke tanah miliknya di sebuah daerah di Negeri Sembilan, melalui kawasan rezab sungai sejauh 150 meter.
Walaupun mendapat persetujuan secara lisan daripada ketua kampung, beliau mengakui tidak membuat permohonan rasmi kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), yang menguruskan kawasan rezab sungai.
Dituduh ceroboh
Bagaimanapun, pada hari ketiga kerja dijalankan, seorang wanita mendakwa rezab sungai itu miliknya kerana dia menanam pokok di situ dan membuat laporan polis serta ke pejabat tanah.
Kemudiannya, pihak berkuasa hadir pada hari yang sama dan terus menyita excavator tanpa waran atau notis mahkamah, walaupun pemilik mesin memberikan kerjasama penuh.
Lebih mengecewakan katanya, permohonan untuk melepaskan excavator ditolak dan kedua-dua pihak bakal berdepan pendakwaan di bawah Seksyen 426(5) dan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara, dengan denda sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.
Layanan berbeza
Beliau turut mempersoalkan tindakan tegas terhadap kes mereka yang tidak melibatkan aktiviti haram seperti penempatan haram, penternakan atau pengambilan hasil hutan.
Beliau juga membandingkan tindakan pantas pihak berkuasa dalam kes ini berbanding beberapa isu pencerobohan tanah lain seperti di Dengkil dan Raub yang didakwa diberi layanan berbeza.
Melalui hantaran itu, beliau memohon sokongan moral dan kewangan bagi membantu pemilik excavator yang kehilangan punca rezeki. Beliau turut menzahirkan rasa kecewa terhadap sistem penguatkuasaan yang didakwa berat sebelah.








