Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali | The Reporter

Pemilik tanah benarkan komuniti Rohingya bina flat di Sungai Tekali

ADUN Dusun Tua, Johan Abd Aziz memaklumkan isu penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan di Sungai Tekali
Flat Sungai Tekali

Tindakan pemilik tanah yang didakwa membenarkan penggunaan tanah bagi tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan, termasuk menyediakan kemudahan utiliti seperti bekalan air dan elektrik, dikenal pasti sebagai antara punca utama isu penempatan komuniti Rohingya di Sungai Tekali terus berlarutan.

Perkara itu dinyatakan ADUN Dusun Tua, Datuk Johan Abd Aziz susulan tular video berkaitan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan di kawasan berkenaan yang mendapat perhatian ramai di media sosial.

Menurut beliau, isu tersebut bukanlah perkara baharu dan telah dibangkitkan dalam Mesyuarat Tindakan Daerah Hulu Langat sejak tahun lalu untuk perhatian serta tindakan agensi-agensi berkaitan.

Johan turut merakamkan penghargaan kepada penyampai radio dan personaliti media sosial, Azad Jasmin atau lebih dikenali sebagai Pak Azad, kerana membantu membawa isu itu kepada perhatian umum.

Pelbagai tindakan penguatkuasaan

Beliau berkata, pelbagai tindakan penguatkuasaan, pemantauan dan operasi telah dilaksanakan oleh agensi-agensi berkaitan bagi menangani masalah tersebut. Namun, tindakan segelintir pemilik tanah yang membenarkan penggunaan tanah mereka untuk tujuan penempatan dan pembinaan struktur tanpa kelulusan telah menyukarkan usaha pihak berkuasa untuk menyelesaikan isu berkenaan secara berkesan.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja melanggar peraturan yang ditetapkan, malah turut menyebabkan masalah tersebut berterusan walaupun pelbagai operasi dan tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa.

Menurut Johan, terdapat beberapa maklumat serta tindakan yang tidak dapat didedahkan kepada umum kerana melibatkan operasi penguatkuasaan yang mempunyai batasan tertentu dari segi pendedahan maklumat.

Baca juga:

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa berdasarkan maklumat dan tindakan yang telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan, peranan pemilik tanah jelas merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada berlarutannya isu tersebut.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan perkara berkenaan akan dibangkitkan semula dalam Mesyuarat Tindakan Daerah yang akan datang bagi memastikan tindakan lebih menyeluruh dapat diambil terhadap semua pihak yang terlibat.

Menurutnya, tindakan tidak boleh hanya tertumpu kepada penghuni semata-mata, sebaliknya perlu memberi fokus kepada pihak yang membenarkan dan memudahkan aktiviti tersebut berlaku di atas tanah milik mereka.

“Semua pihak yang terlibat perlu dipertanggungjawabkan mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa agar penyelesaian yang diambil benar-benar menangani punca sebenar masalah,” katanya.

Related Posts