Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Friedrich Merz dakwa rejim Zionis sedang lakukan “kerja kotor” mewakili kepentingan Barat
• Merz percaya serangan tersebut telah melemahkan kepimpinan Iran
• G7 beri sokongan terbuka kepada rejim Zionis dan beri tekanan ke atas Iran
Canselor Jerman, Friedrich Merz menyatakan sokongan lantang terhadap tindakan ketenteraan Israel ke atas Iran dengan mendakwa entiti haram itu sedang melakukan “kerja kotor bagi pihak kita semua.” Kenyataan itu dibuat dalam sidang kemuncak G7 yang berlangsung di Kanada pada Selasa lalu.
Menurut Merz, serangan Israel menyasarkan tapak ketenteraan dan nuklear Iran sejak Jumaat lalu dan tindakan itu dilihat berjaya melemahkan Iran yang diketuai golongan ulama.
“Ini adalah kerja kotor yang sedang dilakukan Israel bagi pihak kita semua. Kita juga mangsa kepada Iran. Kepimpinan ulama ini telah membawa kematian dan kehancuran kepada dunia,” katanya dalam wawancara bersama media Jerman, ZDF.
Kenapa Jerman anggap Iran sebagai ancaman?
Dalam satu lagi wawancara bersama saluran Welt, Merz menyifatkan kepimpinan Iran semakin goyah selepas siri serangan dari Israel.
“Iran sangat lemah dan kemungkinan besar tidak akan kembali kepada kekuatan asalnya, menjadikan masa depan negara itu tidak menentu. Kita perlu tunggu dan lihat,” ujarnya.
Merz turut menambah, negara-negara Eropah masih bersedia memberi sokongan diplomatik jika keadaan memerlukan.
“Jika muncul situasi baharu, Jerman, Perancis dan UK sekali lagi bersedia membantu Iran secara diplomatik seperti sebelum Khamis lalu,” katanya.
G7 sokong Israel, beri amaran keras kepada Iran
Sementara itu, Presiden Donald Trump yang pada awalnya enggan, akhirnya menandatangani kenyataan bersama pemimpin G7 yang menyokong tindakan Israel. Kenyataan itu juga menyeru agar ketegangan di Timur Tengah dikurangkan dan memberi amaran keras kepada Iran.
“Kami, pemimpin G7, menegaskan komitmen terhadap keamanan dan kestabilan di Timur Tengah. Dalam konteks ini, kami mengiktiraf hak Israel untuk mempertahankan diri dan menyokong keselamatannya.
“Iran ialah sumber utama ketidakstabilan dan keganasan serantau. Kami konsisten menyatakan Iran tidak boleh memiliki senjata nuklear.”
G7 turut menyatakan harapan agar penyelesaian terhadap krisis Iran dapat membawa kepada pengurangan konflik lebih luas, termasuk gencatan senjata di Gaza. Mereka juga berikrar untuk memantau kesan terhadap pasaran tenaga global dan bersedia bertindak bagi menjaga kestabilannya.
Sumber: Just the News








