Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang bayi lelaki berusia 12 bulan meninggal dunia dipercayai akibat didera. Susulan itu,polis menahan sembilan individu bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Tan Cheng San berkata, polis menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ) pada 7 malam kelmarin memaklumkan mereka menerima pesakit dengan kesan dera.
Menurutnya, ketika itu kanak-kanak warga tempatan berkenaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia. Hasil siasatan yang dilakukan, mangsa dibawa ke hospital oleh seorang lelaki yang tidak dikenali berusia lingkungan 30-an.
“Lelaki itu (suspek) mengatakan si mati pengsan dan memerlukan rawatan sebelum beredar meninggalkan kawasan hospital,” katanya.
Mengulas lanjut, Tan berkata, susulan daripada insiden itu, polis menjejaki keberadaan suspek sebelum berjaya membuat penahanan ke atas sembilan individu di sekitar Seberang Perai semalam.
“Empat lelaki dan lima wanita warga tempatan berusia 16 hingga 48 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ini.
“Seorang daripada suspek mempunyai lima rekod jenayah dalam pelbagai kesalahan,” katanya.
Katanya, sesemua yang ditahan akan dibawa ke Mahkamah Majistret Bukit Mertajam untuk tujuan reman dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sumber: Harian Metro