Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun tidak pernah menyangka percutian singkatnya akan bertukar menjadi pengalaman paling menakutkan dalam hidupnya.
Radin, yang menetap di China bersama keluarganya dan bersekolah di sana, pulang ke Iran bersama bapanya pada bulan Januari ketika ketegangan di negara itu semakin memuncak.
Selama 42 hari, dia terperangkap dalam suasana penuh ketakutan. Tiada sekolah, tiada rutin harian seperti biasa dan yang paling menyedihkan, tiada komunikasi dengan rakan-rakan serta cikgunya di China.
Di China, rakan-rakan sekelasnya mula menyedari kehilangan itu. Hari demi hari berlalu tanpa khabar. Ada yang tertanya-tanya ke mana Radin menghilang, ada juga yang mula dihantui rasa takut dan bimbang sesuatu yang buruk telah berlaku.
Namun selepas 42 hari yang panjang dan penuh debaran, sebuah khabar gembira yang dinanti akhirnya tiba.
Baca juga:
- Polis Jeju didakwa palsukan penutupan kes orang hilang
- Thailand batal visa warga Israel susulan pertikaian di zoo Koh Samui
- Tentera Israel akui tembak kereta dinaiki Hind Rajab, buka siasatan jenayah
Radin kembali
Hari berkenaan, sebaik sahaja dia melangkah masuk ke kawasan sekolahnya di China, suasana bertukar menjadi penuh emosi. Rakan-rakan yang sekian lama menunggu kemunculan Radin tidak dapat menyembunyikan perasaan mereka; terkejut, lega dan gembira bercampur menjadi satu.
Ada yang berlari mendapatkan Radin dan ada yang memeluknya erat.
Ada yang hanya mampu berdiri, dengan mata berkaca, menyaksikan kepulangan seorang sahabat yang mereka sangka mungkin telah hilang selamanya.
Pelukan-pelukan dari rakan itu dilihat bukan sekadar sambutan biasa. Ia adalah simbol kerinduan yang terpendam selama 42 hari, simbol kelegaan setelah melalui ketakutan yang tidak terungkap dengan kata-kata.











