Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk meninggalkan PAS walaupun wujud pelawaan terbuka kepada bekas ahli UMNO yang dipecat atau digantung untuk kembali menyertai parti itu.
Menurut beliau, pendiriannya untuk terus bersama PAS dibuat selepas menilai masa depan perjuangan orang Melayu dan Islam serta hala tuju parti-parti politik yang ada di negara ini.
“Tiada satu sebab untuk saya meninggalkan PAS. Saya tidak pernah meninggalkan UMNO, sebaliknya saya mahu melihat UMNO memimpin penyatuan umat Melayu Islam, tetapi malangnya parti itu memilih untuk bersama PH dan DAP,” katanya.
Annuar turut mendakwa beliau dipecat daripada UMNO tanpa diberikan sebab, notis atau peluang untuk membela diri selepas lebih 45 tahun berjuang dalam parti itu.
Keputusan sertai PAS
Beliau berkata, selepas pemecatan tersebut, beliau mengambil masa beberapa bulan tanpa parti bagi menilai arah perjuangan politiknya serta masa depan orang Melayu dan Islam di Malaysia.
Menurutnya, keputusan untuk menyertai PAS dibuat ketika berada di Makkah pada 1 Rejab 2023 selepas merasakan parti itu merupakan satu-satunya parti yang memperjuangkan siasah, dakwah dan tarbiyah berteraskan Islam.
“Saya membuat panggilan telefon kepada Setiausaha Agung PAS untuk memaklumkan saya reda berjuang bersama PAS. Saya memilih untuk terus berjuang dan bukan duduk tanpa parti,” katanya.
Beliau turut menyifatkan keputusan itu tepat apabila PAS kini menjadi parti terbesar di Parlimen dengan hampir 200 wakil rakyat di seluruh negara.
Dalam pada itu, Annuar berkata beliau bersyukur kerana masih diberi ruang untuk menyumbang dalam PAS walaupun tidak memegang sebarang jawatan utama dalam parti itu.
“Saya bukan wakil rakyat, tidak memimpin cawangan atau kawasan seperti dahulu dalam UMNO, tetapi itu sudah lebih daripada mencukupi untuk saya menumpang berjuang demi Islam, orang Melayu dan rakyat keseluruhannya,” katanya.
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
Rumah Bangsa
Mengulas mengenai cadangan atau jenama baharu seperti ‘Rumah Bangsa’, beliau berpandangan perkara itu hanyalah perubahan nama semata-mata.
“Rumah Bangsa jenama baharu, tetapi isinya tetap sama. Tuan punya rumah pun tuan yang sama. Rasanya ia tetap rumah lama,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menghargai pelawaan terbuka kepada bekas ahli yang dipecat atau digantung, namun menegaskan setiap individu mempunyai landasan perjuangan masing-masing.
“Apa pun saya hargai ajakan terbuka kepada mangsa pemecatan dan penggatungan kononnya untuk memperkasa parti..ternyata belum cukup perkasa rupanya.
“Bagi saya yang penting ialah keredaan Allah dan memilih jalan yang betul,” katanya.
Sebelum ini, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamid membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali bersama parti itu.








