Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon wanita bersama suaminya dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban bagi membantu siasatan berkaitan kes penipuan urusan penjualan tanah kurnia yang dipercayai menyebabkan kerugian sehingga RM1.5 juta.
Menurut Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Azahar Abdul Rahim, pasangan suami isteri itu ditahan semalam di sebuah madrasah tahfiz di Jalan Kuari Sungai Long, Batu 11, Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor.
“Susulan laporan polis berkaitan kes penipuan yang dibuat di daerah ini, pasangan ini ditahan di premis tersebut dan dibawa ke Mahkamah Majistret untuk permohonan reman.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Azahar juga mengingatkan supaya orang awam tidak mengganggu siasatan dengan mengeluarkan kenyataan di media sosial dan berharap proses siasatan dapat dijalankan secara telus.
Baca juga:
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- Isu gelaran juara, Zaha Spring pertahan kenyataan Ameng
- Dari gurauan jadi kenyataan, lelaki sahut cabaran TokTi joging 8KM
Mengulas lanjut mengenai kes berkenaan, Azahar memaklumkan mangsa kes ini ialah seorang lelaki berumur 56 tahun, pesara ahli perniagaan yang sebelum ini terlibat dalam pembangunan hartanah.
Katanya, mangsa mendakwa dia ditipu oleh pasangan berkenaan melalui urusan untuk mendapatkan beberapa lot tanah kurniaan kerajaan negeri Selangor di bawah mukim Cheras. Transaksi yang dijalankan melibatkan pembayaran ke akaun bank pelakon wanita dan bapa suaminya berjumlah RM1.5 juta.
Terdahulu,tular di media sosial apabila seorang wanita mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan pelakon wanita berkenaan dan suaminya. Menurut wanita itu, dia telah ditipu sebanyak RM300,000, manakala mangsa lain dikatakan kerugian sehingga berjuta-juta ringgit.
Sumber: Harian Metro










