Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Astro bersetuju untuk memperkukuh kerjasama strategik dalam usaha memastikan kandungan berkualiti terus dapat dinikmati rakyat Malaysia melalui pelbagai platform penyiaran.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua organisasi itu menegaskan bahawa landskap media massa semasa memerlukan pendekatan lebih progresif, inklusif dan berorientasikan masa depan, sejajar dengan perkembangan teknologi serta perubahan corak penggunaan media dalam kalangan masyarakat.
Sehubungan itu, RTM dan Astro komited untuk memperluas kerjasama bagi merancakkan pembangunan kandungan tempatan, memperkasa bakat kreatif negara serta menyokong pertumbuhan industri media yang lebih mampan, berdaya saing dan relevan.
Dalam masa sama, kedua-dua pihak turut menyambut baik peluasan penyiaran saluran RTM di platform Astro, termasuk saluran Sukan+, Berita RTM serta rangkaian radio RTM. Inisiatif ini dijangka memperluas akses rakyat kepada kandungan awam yang berkualiti, dipercayai dan relevan, selain memperkukuh penyampaian maklumat berkepentingan nasional kepada semua lapisan masyarakat.
Baca juga:
- RTM, Astro perkukuh kerjasama perluas akses kandungan berkualiti kepada rakyat
- ‘Saya tidak akan berhenti berjuang’ – Haim Hilman
- ‘Pembaikan bumbung SK Bukit Raya bermula hujung minggu ini’ – ADUN Dusun Tua
Akses kandungan berkualiti
RTM dan Astro turut berkongsi aspirasi untuk mewujudkan ekosistem media yang mampan, mesra pengguna serta memberikan nilai terbaik kepada rakyat. Mereka percaya kerjasama lebih erat antara pemain industri amat penting bagi memastikan akses kepada kandungan berkualiti dapat diperkasakan pada kos yang berpatutan.
Rakyat Malaysia akan terus menikmati saluran TV1, TV2 dan TV Okey melalui platform Astro, NJOI dan Sooka. Pada masa sama, peluasan saluran RTM melalui Berita RTM, Sukan+ serta rangkaian radio RTM akan mula tersedia kepada pelanggan Astro dalam masa terdekat.
Kedua-dua pihak yakin kerjasama yang diperkukuh ini akan memberi manfaat kepada industri media tempatan, di samping memperluas akses rakyat kepada kandungan yang lebih dipercayai, berkualiti dan relevan.









