Pemilik restoran Samurai Yakiniku mendakwa beliau pernah melalui pengalaman berurusan dengan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang disifatkan sebagai berbeza daripada kebiasaan dalam pertemuan berkaitan kerjasama perniagaan.
Menerusi hantaran yang dikongsikan, Asraff Jeffery mendakwa pada awalnya beliau pernah mempunyai pandangan negatif terhadap Syed Saddiq. Namun, katanya, persepsi itu berubah selepas beliau menjadi ‘saksi hidup’ kepada apa yang disifatkan sebagai pendekatan kerja ahli politik tersebut di kawasan Muar.
Menurut beliau, selepas pembukaan cawangan Samurai Yakiniku di Setapak, pihaknya telah dihubungi oleh wakil Syed Saddiq yang menyatakan hasrat untuk menjalinkan kolaborasi dengan perniagaan tersebut.
Dalam pertemuan itu, beliau mendakwa Syed Saddiq bertanyakan apa sumbangan perniagaan tersebut kepada Muar.
“Kami terkesima. Biasa orang tanya ,”apa yang awak boleh bagi pada saya?” Tapi YB tanya apa yang kami boleh bagi kepada Muar,” katanya.
- Wira jalan raya: Pemandu lori terima pengiktrafan selepas insiden Terowong Menora
- Polis buka siasatan video tular lelaki berpakaian mirip pasukan keselamatan
- Akui pernah benci Syed Saddiq, pemilik restoran dedah sebab berubah pandangan
Beliau menyifatkan soalan tersebut sebagai sesuatu yang luar biasa kerana, menurutnya, kebiasaan perbincangan perniagaan lebih tertumpu kepada manfaat kepada individu atau pihak tertentu, berbanding kepentingan komuniti.
Beliau turut menegaskan bahawa pertemuan tersebut berlaku di luar musim pilihan raya dan tidak melibatkan sebarang keperluan politik seperti mendapatkan undi atau sokongan.
Dalam kenyataan sama, beliau menyifatkan dakwaan bahawa tindakan Syed Saddiq hanyalah “lakonan” sebagai tidak tepat, sebaliknya menyatakan rakyat mempunyai kemampuan menilai sendiri usaha dan pendekatan pemimpin.
“Kalau apa yang YB buat dikatakan lakonan Hollywood, biarkan sahaja. Rakyat ada mata, rakyat nampak siapa yang berusaha,siapa yang bersenang-lenang memberi arahan,” katanya.









