Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu, memuji tentera lautnya selepas berjaya memintas Global Sumud Flotilla. Konvoi kemanusiaan antarabangsa itu membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.
Dalam operasi yang berlangsung hampir 12 jam, lebih 400 aktivis dari 41 kapal ditahan di pelabuhan Ashdod. Antara mereka termasuk aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg.
Walaupun Netanyahu mendakwa tindakan itu sebagai langkah keselamatan, realitinya flotilla berlayar dengan satu tujuan iaitu menyalurkan bantuan ke Gaza yang kini berada di ambang kebuluran akibat sekatan rejim Zionis.

Gelombang kecaman antarabangsa
Amnesty International menegaskan, pemintasan flotilla sebagai “intimidasi” untuk menyekat suara pengkritik, manakala Hamas menyifatkannya sebagai “jenayah lanun laut dan keganasan maritim”.
Baca juga:
- Colombia halau Diplomat Israel, tegaskan solidariti bersama Palestin
- Netanyahu puji tentera lautnya hentikan Flotilla bantuan Gaza, biarpun dikecam dunia
- ‘Cadangan Trump bukan tawaran, tetapi ancaman’ – Tun M
Turki mengutuk keras tindakan Israel dan membuka siasatan selepas rakyatnya turut ditahan. Sepanyol memanggil wakil Israel di Madrid serta melancarkan siasatan hak asasi manusia, manakala Mexico menuntut enam rakyatnya segera dibebaskan.
Afrika Selatan pula mendesak pembebasan segera semua aktivis, termasuk Mandla Mandela, cucu tokoh anti-apartheid Nelson Mandela, yang turut serta dalam flotilla tersebut.
Flotilla jadi simbol Solidariti Palestin

Global Sumud Flotilla yang melibatkan lebih 41 kapal berlepas dari Eropah bulan lalu dengan matlamat menghantar bantuan ke Gaza. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memberi amaran bahawa penduduk Gaza sedang berdepan kebuluran akibat sekatan rejim Zionis.
Di Itali, ribuan orang turun ke jalan, mengadakan mogok umum dan tunjuk perasaan di beberapa bandar besar termasuk Rom, Naples dan Malaysia sebagai tanda solidariti kepada Palestin.
Tindakan rejim Zionis menyekat flotilla kemanusiaan ini sekali lagi memperlihatkan bagaimana sekatan terhadap Gaza bukan sahaja menjejaskan kehidupan jutaan rakyat Palestin, tetapi turut menimbulkan gelombang kemarahan global. Flotilla bantuan yang sepatutnya membawa roti dan ubat akhirnya bertukar menjadi simbol perjuangan kemanusiaan menentang penindasan.