Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pengarah terkenal, Murali Abdullah meluahkan hasrat untuk menyatukan dua figura legenda tanah air dalam sebuah karya istimewa berbentuk drama komedi muzikal di Youtube.
Menurut Murali, beliau sangat mengagumi penyanyi David Arumugam daripada kumpulan Alleycats, malah berpeluang bertemu dengan pelawak Sathiya yang sinonim dengan gelaran Baby Face baru-baru ini. Pertemuan tersebut, katanya, mencetuskan idea untuk menghasilkan sebuah drama yang menggabungkan dua nama besar berkenaan.
“Saya sangat meminati David Arumugam. Teringin juga kalau dapat gandingkan beliau dengan Baby Face dalam satu drama di YouTube. Kalau saya mengarah drama ini dengan tujuan nak kutip derma untuk Satiya, korang akan tonton tak?” tulis Murali di media sosial.
Tambah beliau, drama itu bukan sekadar komedi, tetapi juga akan diselitkan elemen muzik serta babak-babak yang mampu menyentuh perasaan, sesuatu yang sinonim dengan gaya pengarahan beliau.
“Saya suka karya yang boleh buat penonton ketawa, tapi pada masa sama boleh menitiskan air mata. Itu memang trademark saya,” katanya lagi.
Baca juga:
- Musa Nuwayri dedah sikap prihatin Zizi Kirana dalam misi GSF
- Pengarah Murali Abdullah rancang drama Sathiya & David Arumugam
- Rafidah Ibrahim gagal bayar saman fitnah RM281K? Berdepan risiko sita aset & bankrap
Dalam pada itu, Murali sempat berseloroh agar penonton tidak meletakkan permintaan pelik seperti bayaran berjuta ringgit semata-mata untuk menyokong projek amal tersebut.
Beliau turut mengajak pengikutnya memberikan cadangan tajuk serta jalan cerita ringkas untuk drama berkenaan, sekali gus membuka ruang interaksi dengan peminat sebelum projek ini direalisasikan.
Terdahulu, kumpulan Alleycats menziarahi Sathiya di hospital selepas beliau menjalani pembedahan pada Jumaat lalu. Difahamkan, Sathiya juga sudah lama menghidap penyakit kencing manis sejak lebih sedekad lalu dan kini masih dalam pemantauan rapi pihak hospital.

Sumber: Murali Abdullah, Alleycats Official