Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegur pertelingkahan terbuka antara Pemuda Umno dan Pemuda DAP yang timbul susulan isu bendera terbalik, dengan mengingatkan semua pihak agar tidak menjejaskan hubungan antara parti komponen dalam kerajaan perpaduan.
Walaupun tidak menyebut nama secara langsung, Zahid dipercayai merujuk kepada Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, yang lantang bersuara dalam isu tersebut dan kepimpinan Pemuda DAP yang mendesak agar hubungan dengan Akmal diputuskan.
Jangan kerana mahu popular, akhirnya rosakkan hubungan
Zahid menegaskan, segala keputusan yang dibuat di peringkat kepimpinan tertinggi parti perlu dihormati oleh semua pihak, tanpa mengira jawatan atau kecenderungan politik.
“Kita telah membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi. Jangan kerana mahu mempopularkan sesuatu isu atau untuk dilihat paling popular, akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti, apatah lagi di peringkat akar umbi,” katanya.
Baca juga:
- ‘Saya menentang mana-mana kerajaan tebuk atap’ – Dr Akmal Saleh
- Sim gesa BN Negeri Sembilan hormati objektif penubuhan Kerajaan Perpaduan
- PN Negeri Sembilan sedia bekerjasama dengan BN
Dalam satu lagi teguran yang dipercayai ditujukan kepada Pemuda DAP, beliau menekankan keputusan politik tidak wajar dibuat secara terburu-buru hanya kerana satu insiden.
“Kita tidak mahu kerana ada satu peristiwa, keputusan politik dibuat sehingga menggoyahkan kesatuan dalam 18 parti yang membentuk kerajaan Madani,” katanya.
Pemuda DAP desak hubungan dengan Akmal diputus
Sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang menggesa kepimpinan parti itu agar memutuskan hubungan dengan Dr Akmal, susulan tindakannya mengecam pemilik sebuah kedai perkakasan di Pulau Pinang yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik. Gesaan itu turut disokong Pemuda DAP Kedah dan Negeri Sembilan.
Akmal bersama Pemuda Umno dan Pemuda Bersatu telah berhimpun di hadapan premis tersebut, yang mencetuskan reaksi balas dalam kalangan pemimpin DAP. Pemuda DAP mendakwa tindakan Akmal boleh menjejaskan keharmonian negara dan perpaduan dalam kerajaan.
Sumber: MalaysiaKini




