Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Lelaki Muslim, termasuk yang terlibat dalam industri fesyen, disaran menghentikan segala perilaku yang bertentangan dengan ajaran dan nilai Islam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Mohd Na’im Mokhtar, berkata dalam Islam, lelaki berperanan sebagai pemimpin (qawwam), justeru perlu menjaga penampilan dan tingkah laku agar selari dengan tuntutan agama.
Menurutnya, terdapat hadis yang menjelaskan bahawa sesiapa yang meniru sesuatu kaum boleh dianggap sebahagian daripada kaum itu. Beliau mengingatkan bahawa teguran terhadap lelaki beragama Islam berpakaian seperti wanita pernah dibuat pihak berkuasa agama sebelum ini.
“Kita mahu nilai yang terkandung dalam al-Quran ini diterapkan dalam kalangan lelaki di Malaysia.
“Kalau fesyen yang dibawa cuba menyerupai wanita dengan gaya dan lenggok keperempuanan, bagaimana kita hendak membawa nilai qawwam itu? Kita tekankan semula, lelaki yang meniru gaya wanita sepatutnya menghentikan perbuatan tersebut kerana ia jelas bertentangan dengan nilai agama,” katanya.
Baca juga:
- ‘Aku menang RM500K hasil nombor ekor, kalau sedekah pada anak yatim dapat pahala tak?’
- Bekas suami culas bayar nafkah berdepan sitaan kewangan
- ‘Rukun nikah cukup, maka nikah sah’ – Dr. Rozaimi Ramle
Beliau mengulas reaksi tidak senang orang ramai di media sosial terhadap sekumpulan lelaki yang berpakaian seperti wanita termasuk gaun, aksesori dan penampilan mencolok mata di Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2025 baru-baru ini.
Mohd Na’im menegaskan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mempunyai garis panduan jelas untuk penganjur atau mana-mana pihak yang mahu berkarya, dan berharap ia dipatuhi.
Beliau turut memaklumkan bahawa agensi agama sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain, termasuk Kementerian Komunikasi, bagi memastikan garis panduan tersebut dilaksanakan demi mengelakkan umat Islam tersasar daripada ajaran agama.
Sumber: Berita Harian








