UK akan iktiraf negara Palestin September ini jika Israel enggan setuju gencatan senjata | The Reporter

UK akan iktiraf negara Palestin September ini jika Israel enggan setuju gencatan senjata

Keir Starmer tegaskan UK akan iktiraf negara Palestin jika Israel enggan melakukan genjatan senjata.
Tangkap layar video di aplikasi X Keir Starmer.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Kerajaan United Kingdom (UK) akan mengiktiraf negara Palestin pada September ini sekiranya Israel gagal memenuhi beberapa syarat penting termasuk menghentikan serangan di Gaza dan membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri UK, Keir Starmer berkata, keputusan itu akan diumumkan pada sesi Perhimpunan Agung PBB jika Israel masih enggan mengambil langkah ke arah perdamaian jangka panjang.

“Kerajaan Israel perlu menghentikan situasi mengerikan di Gaza, bersetuju dengan gencatan senjata dan komited terhadap penyelesaian dua negara. Ini termasuk membenarkan bantuan PBB disambung semula serta memberi jaminan tiada peluasan penempatan di Tebing Barat,” katanya dalam kenyataan disiarkan televisyen, semalam.

Starmer turut menegaskan Hamas perlu melepaskan semua tebusan, bersetuju dengan gencatan senjata, melucutkan senjata dan tidak lagi terlibat dalam pemerintahan Gaza.

Beliau mengadakan mesyuarat Kabinet khas sempena musim panas berikutan tekanan dalam negara semakin meningkat susulan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza. Mesyuarat itu diadakan sehari selepas pertemuannya dengan Presiden Donald Trump di Scotland, namun Trump menafikan isu Palestin dibincangkan secara rasmi.

Memetik laporan AP, dalam kenyataan balas, Kementerian Luar Israel menolak keputusan UK dan menyifatkannya sebagai “ganjaran kepada Hamas” serta menjejaskan usaha mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan.

Tekanan global semakin meningkat

Pengumuman Starmer menyusul selepas kenyataan Presiden Perancis Emmanuel Macron yang turut mengumumkan Perancis akan menjadi negara Barat pertama mengiktiraf Palestin sebagai negara berdaulat pada September.

Lebih 140 negara kini mengiktiraf negara Palestin, termasuk beberapa negara Eropah seperti Ireland, Sepanyol dan Belanda yang turut mendesak Israel membenarkan lebih banyak bantuan kemanusiaan memasuki Gaza dan menghentikan operasi ketenteraan.

Di UK sendiri, lebih 250 daripada 650 Ahli Parlimen telah menandatangani surat mendesak kerajaan mengiktiraf Palestin.

Baca juga:

Menteri Luar UK, David Lammy menekankan bahawa Britain mempunyai tanggungjawab sejarah terhadap isu Palestin sejak era Deklarasi Balfour 1917 yang menyokong penubuhan negara Israel.

“Deklarasi itu juga mengandungi janji bahawa tidak ada tindakan yang akan menjejaskan hak sivil dan agama rakyat Palestin. Malangnya, janji itu tidak ditepati, dan ketidakadilan ini masih berlaku hingga kini,” katanya ketika berucap di PBB, New York.

Sementara itu, Palestin menyambut baik pengumuman UK. Wakil Kementerian Luar Palestin, Omar Awadallah menyifatkan langkah itu sebagai usaha “membetulkan ketidakadilan sejarah”.

Related Posts