Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• Berus gigi sepanjang 17cm tersekat dalam usus sejak zaman kanak-kanak
• Lelaki itu sangka ia akan larut sendiri, tidak pernah beritahu sesiapa
• Pembedahan berjaya dilakukan selepas mula alami ketidakselesaan perut
Seorang lelaki berusia 64 tahun dari wilayah Anhui, China, tidak menyangka pemeriksaan kesihatan yang dijalaninya baru-baru ini menemui berus gigi sepanjang 17 sentimeter tersekat dalam usus kecilnya. Objek itu dipercayai telah berada dalam tubuhnya sejak lebih 50 tahun lalu.
Lelaki yang dikenali sebagai Yang itu memberitahu, dia tertelan berus gigi tersebut semasa berumur 12 tahun dan terlalu takut untuk memberitahu ibu bapanya. Dia menyangka ia akan larut dengan sendiri dalam perut dan sejak itu tidak mengalami sebarang gejala luar biasa.
Namun baru-baru ini, Yang mula berasa tidak selesa pada bahagian perut sebelum mendapatkan rawatan di hospital. Hasil pemeriksaan menunjukkan berus gigi itu masih berada dalam ususnya dan tidak banyak bergerak selama 52 tahun kerana tersekat pada bahagian selekoh usus.

Bagaimana berus gigi itu tidak merosakkan usus?
Menurut Dr Zhou yang merawatnya, “Dalam keadaan biasa, berus gigi boleh berpusing dan menekan dinding dalam usus hingga menyebabkan kebocoran atau luka serius. Ia boleh membawa maut jika tidak dikesan.”
Namun dalam kes Yang, doktor menyifatkannya sangat bertuah kerana objek itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan dalaman yang teruk. Pembedahan endoskopi selama 80 minit berjaya mengeluarkan berus gigi tersebut tanpa komplikasi.
Kes ini dianggap sebagai salah satu kes yang paling luar biasa di hospital itu dalam tempoh tiga tahun terakhir, terutama kerana panjang dan tempoh objek itu berada dalam badan pesakit.
Ramai netizen terkejut
Netizen tertanya-tanya bagaimana lelaki itu boleh hidup sihat selama lima dekad dengan berus gigi dalam badan dan menganggap ia sebagai satu keajaiban. Ada yang hairan bagaimana dia boleh tertelan berus gigi dan menyangka ia akan larut sendiri, sementara yang lain memahami ketakutannya untuk memberitahu ibu bapa kerana bimbang dimarahi.
Tahun lalu, satu kes serupa turut dilaporkan di wilayah Sichuan, apabila seorang wanita secara tidak sengaja tertelan tiub gam sepanjang 15cm dan hanya mendapatkan rawatan selepas bertahun-tahun. Dia menyangka sistem pencernaan akan menghapuskan objek itu secara semula jadi.
Pakar perubatan menasihatkan orang ramai supaya menjalani pemeriksaan kesihatan berkala, kerana kadangkala objek asing yang tersembunyi dalam badan boleh kekal lama tanpa disedari, tetapi tetap membawa risiko bahaya pada masa akan datang.
Sumber: South China Morning Post








