Gula-gula Haribo Happy Cola F!ZZ ditarik balik selepas dikesan dicemari ganja | The Reporter

Gula-gula Haribo Happy Cola F!ZZ ditarik balik selepas dikesan dicemari ganja

Bungkusan Haribo Happy Cola F!ZZ dan gula-gula berbentuk botol
Gula-gula Haribo Happy Cola F!ZZ ditarik balik selepas dikesan dicemari ganja

Syarikat pengeluar gula-gula terkenal, Haribo, telah mengarahkan penarikan balik produk Happy Cola F!ZZ dalam bungkusan 1 kilogram di Belanda selepas didapati mengandungi ganja.

Keputusan itu diambil selepas beberapa pengguna, termasuk kanak-kanak, dilaporkan mengalami simptom seperti pening dan tidak sihat selepas memakan gula-gula tersebut.

Menurut pihak Berkuasa Keselamatan Produk Makanan dan Barangan Pengguna Belanda (NVWA), ujian makmal mengesahkan kehadiran bahan terlarang itu dalam sekurang-kurangnya tiga bungkusan produk berkenaan. Justeru, pengguna di negara itu dinasihatkan agar tidak memakannya dan memulangkannya untuk bayaran balik.

Pihak Haribo dalam kenyataan rasmi menegaskan, keselamatan pengguna adalah keutamaan mereka dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar pencemaran. Mereka juga bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi mengelak kejadian sama berulang.

Setakat ini, tiada laporan produk tercemar dilaporkan di luar Belanda termasuk Malaysia. Namun, pengguna dinasihatkan agar menyemak tarikh luput dan kod pengeluaran, terutamanya produk yang bertarikh luput Januari 2026 dan bernombor kod L341-4002307906.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan kewujudan produk tiruan atau penyeludupan gula-gula yang mengandungi dadah, khususnya kerana ia menyasarkan pengguna kanak-kanak. Pihak berkuasa Belanda masih meneruskan siasatan bagi memastikan semua produk tercemar dikeluarkan daripada pasaran. – Agensi

Related Posts