Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Tular di media sosial dakwaan mengenai kertas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 bagi kertas subjek Sejarah, bocor.
Situasi tersebut telah menimbulkan rasa gusar dalam kalangan calon apabila memikirkan jika benar, peperiksaan tersebut akan dibuat sekali lagi.
Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut.
“KPM telah menjalankan siasatan secara terperinci dan ia telah selesai dijalankan dengan turut mengambil kira semua sebaran dan tangkap layar berkaitan yang tular di laman media sosial.
“Kami mendapati bahawa dakwaan tersebut adalah tidak berasas. Tangkap layar yang ditularkan hanya mengandungi senarai tajuk dalam buku teks Sejarah yang dijadikan ramalan.
“Tiada sebarang soalan dalam kertas peperiksaan Sejarah Kertas 1 dan 2 SPM 2024 dipaparkan dalam mana-mana sebaran dan tangkap layar yang ditularkan,” katanya.
Jelas KPM lagi, dakwaan tersebut tidak menepati definisi kebocoran yang ditetapkan mengikut prosedur pengurusan dan pengendalian kes kebocoran kertas peperiksaan serta kawalan keselamatan Lembaga Peperiksaan, KPM.
“Calon-calon peperiksaan SPM dinasihatkan untuk kekal tenang dan fokus dalam menghadapi peperiksaan.
“KPM sentiasa komited memastikan kerahsiaan kertas peperiksaan awam adalah terpelihara dan kepentingan serta keadilan kepada semua calon peperiksaan SPM 2024 adalah terjamin,” katanya.
Sumber: Berita Harian








