Seorang lelaki Vietnam mengalami sakit kepala teruk dan hilang penglihatan selama lima bulan lalu gara-gara kayu penyepit makanan tersangkut dalam tengkoraknya.
Difahamkan, lelaki yang tidak didedahkan identitinya itu, telah dimasukkan ke hospital di bandar Dong Hoi, wilayah Quang Binh, Vietnam, selepas mengadu sakit kepala berterusan, hilang penglihatan dan cecair keluar melalui hidungnya.
Apabila ditanya mengenai punca masalah tersebut, lelaki itu tidak dapat memberikan jawapan. Hasil imbasan CT menunjukkan tension pneumocephalus, setara intrakranial pneumothorax, serta dua objek asing yang menjulur dari hidungnya ke otaknya. Setelah diperiksa dengan teliti, objek-objek itu dikenal pasti sebagai kayu penyepit makanan yang patah.
Pada awalnya, pesakit berusia 35 tahun itu juga kelihatan keliru. Tidak lama kemudian, dia teringat pernah terbabit dalam pergaduhan fizikal lima bulan lalu dan dia tersedar di hospital. Doktor pada waktu it hanya membalut lukanya dan dibenarkan keluar dari hospital.
Lelaki itu percaya, ada individu lain yang menusuk hidungnya menggunakan kayu penyepit sehingga patah.
Setelah mendengar penjelasan pesakit, pasukan perubatan mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan endoskopik melalui hidung bagi mengeluarkan kayu penyepit itu.
Selesai pembedahan, lelaki berusia 35 tahun itu dilaporkan stabil dan telah dibenarkan keluar dari hospital.
Sumber: Oddity Central