'Ahmad Shah maut ketika cuba lerai pergaduhan di Korea Selatan' - Keluarga | The Reporter

‘Ahmad Shah maut ketika cuba lerai pergaduhan di Korea Selatan’ – Keluarga

Keluarga Ahmad Shah berharap jenazah rakyat Malaysia yang maut dalam pergaduhan di Korea Selatan dibawa pulang ke tanah air.
Ahmad Shah yang menetap di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu maut dalam kejadian pergaduhan berkumpulan di Eumseong.

Seorang rakyat Malaysia maut dipercayai ditikam dalam pergaduhan berkumpulan membabitkan kira-kira 10 individu di Eumseong, Wilayah Chungcheong Utara, Korea Selatan, awal pagi Ahad.

Menurut laporan The Korea Herald, polis Korea Selatan menahan seorang lelaki Malaysia berusia 40-an yang disyaki terbabit dalam kejadian itu selepas seorang lelaki Malaysia berusia 20-an meninggal dunia akibat kecederaan dipercayai terkena tikaman. Polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca pergaduhan serta peranan individu lain yang terlibat.

Mangsa dikenali sebagai Ahmad Shah, 26, yang dilaporkan sudah menetap di Korea Selatan sejak tujuh tahun lalu dan bekerja di sebuah kilang.

Kejadian itu turut dilaporkan MBC News Korea menerusi rakaman CCTV yang menunjukkan lebih 10 warga asing terlibat dalam pergaduhan berkumpulan sebelum seorang lelaki maut dan seorang lagi cedera.

Baca juga:

Sementara itu memetik laporan Harian Metro, adik mangsa, Ain Sephia, berkata keluarganya masih terkejut dengan berita berkenaan namun reda dengan kejadian yang menimpa abangnya.

Menurut Ain Sephia, dia dimaklumkan mengenai kejadian itu selepas dihubungi kakak iparnya, Nurcahaya Ruslan, yang berada di lokasi ketika kejadian. Katanya, Ahmad Shah dipercayai pergi ke tempat kejadian selepas diminta membantu meleraikan pergaduhan yang berlaku sebelum dia diserang.

“Abang ketika itu sedang tidur sebelum dihubungi rakannya yang memberitahu berlaku pergaduhan dan meminta bantuan. Abang pergi dan kakak ipar turut tergerak hati untuk ikut sekali,” katanya.

Keluarga rayu bantuan bawa pulang jenazah

Ain Sephia berkata keluarganya berharap jenazah Ahmad Shah dapat dibawa pulang ke Malaysia untuk dikebumikan di Bandar Tasik Puteri, Rawang, berikutan kos pengebumian di Korea Selatan yang tinggi. Kos penghantaran pulang jenazah dianggarkan antara RM50,000 hingga RM60,000, tidak termasuk kos lain seperti urusan hospital, dokumen dan pengurusan berkaitan.

Katanya, Ahmad Shah merupakan abang yang baik dan sering membantu orang lain. Allahyarham kali terakhir pulang ke Malaysia pada 2023, namun sentiasa menghubungi ibu mereka setiap hari dan dijangka pulang pada Disember ini sebelum keluarga menunaikan umrah pada Januari tahun depan. Pihak keluarga turut membuka ruang sumbangan bagi membantu kos pengurusan jenazah dan penghantaran pulang ke tanah air.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga Allahyarham Ahmad Shah boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun RHB Bank 16431700083563 (Ain Sephia Fabian) atau akaun Industrial Bank of Korea (IBK) 05610528301010 (Nurcahaya Ruslan) bagi tujuan pengurusan jenazah dan penghantaran pulang ke Malaysia.

Related Posts