Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu membalas kenyataan Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani yang sebelum ini menggelarnya sebagai penjenayah perang dan menyifatkan kehadirannya tidak dialu-alukan di bandar raya itu.
Netanyahu mendakwa kenyataan Mamdani hanya mencetuskan kebencian serta menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat New York, sambil menegaskan seorang pemimpin bandar raya sepatutnya mewakili semua penduduk tanpa mengira latar belakang.
“Beliau mencetuskan kebencian. Beliau sepatutnya menjadi datuk bandar kepada semua penduduk New York,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Baca juga:
- Gagal ke Piala Dunia, Omar Artan kini cipta sejarah di UEFA Super Cup
- Netanyahu tegaskan tiada negara Palestin selagi beliau jadi Perdana Menteri
- Dua bayi tertukar di hospital, kebenaran terbongkar selepas lebih tiga dekad
Menurut Netanyahu, tindakan Mamdani yang menyerangnya secara terbuka boleh menyebabkan ketakutan dalam kalangan komuniti tertentu, selain mendakwa pendekatan itu menggalakkan permusuhan antara kumpulan masyarakat.
Pertikaian antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Mamdani mengkritik Netanyahu berhubung tindakan Israel di Gaza dan menyifatkan beliau sebagai penjenayah perang. Mamdani turut menyatakan bahawa Netanyahu tidak dialu-alukan untuk berkunjung ke New York.
Bagaimanapun, Netanyahu menegaskan beliau tetap akan hadir ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) yang dijadualkan berlangsung di New York bagi menyampaikan pendirian Israel di pentas antarabangsa.
Beliau berkata kehadirannya ke ibu pejabat PBB itu adalah untuk mempertahankan kepentingan Israel serta menjelaskan pendirian negaranya kepada masyarakat dunia.








