Sanusi pertahan kenyataan 'Melayu hanya ada Tanah Melayu' | The Reporter

Sanusi pertahan kenyataan ‘Melayu hanya ada Tanah Melayu’

Muhammad Sanusi Md Nor menjelaskan kenyataan mengenai hubungan sejarah orang Melayu dengan Tanah Melayu.
Gambar: Facebook Muhammad Sanusi Md Noor.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kenyataannya mengenai ‘Melayu hanya mempunyai Tanah Melayu’ yang diucapkan ketika Ceramah Perdana PN-BN di Jempol pada 23 Julai lalu.

Beliau menegaskan kenyataan itu disampaikan dalam konteks sejarah pembentukan negara serta kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu, bukannya untuk menafikan hak kewarganegaraan rakyat Malaysia bukan Melayu.

Sanusi berkata ungkapan tersebut bukanlah idea baharu, sebaliknya mempunyai asas sejarah yang pernah direkodkan dalam perbahasan rasmi Parlimen British. Menurutnya, tokoh British seperti Oliver Stanley (1946), Lord Killearn (1949) dan Lord Ogmore (1957) pernah mengiktiraf Tanah Melayu sebagai tanah air tradisional atau satu-satunya tanah air orang Melayu.

Bukan menolak kehadiran kaum lain

Beliau menjelaskan ketiga-tiga tokoh itu turut mengiktiraf hak masyarakat bukan Melayu yang menetap secara tetap di Tanah Melayu untuk memperoleh kewarganegaraan. Justeru, Sanusi berkata pengiktirafan terhadap identiti sejarah orang Melayu tidak bermaksud menolak kehadiran atau hak kaum lain sebagai warganegara.

Menurut Sanusi, kenyataannya perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan dipetik di luar konteks sehingga disifatkan sebagai retorik perkauman. Beliau menegaskan ucapannya turut menyentuh bahawa masyarakat pelbagai kaum boleh hidup secara aman dan harmoni, selain menyatakan kebimbangannya terhadap kedudukan politik dan ekonomi orang Melayu.

Baca juga:

Beliau turut menegaskan bahawa rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang merupakan warganegara mempunyai hak yang dijamin Perlembagaan serta rasa kepunyaan terhadap Malaysia. Pada masa sama, beliau berpandangan hakikat sejarah bahawa Semenanjung berkembang daripada negeri-negeri Melayu dan Persekutuan Tanah Melayu tidak seharusnya diketepikan.

“Rakyat Malaysia berketurunan Cina dan India yang menjadi warganegara mempunyai hak perlembagaan, kesetiaan dan rasa kepunyaan terhadap Malaysia. Malaysia ialah tanah air mereka sebagai warganegara.

“Pada masa yang sama, fakta tersebut tidak menghapuskan hakikat sejarah bahawa Semenanjung ini berkembang daripada negeri-negeri Melayu dan bahawa Persekutuan yang mencapai kemerdekaan pada 1957 dinamakan Persekutuan Tanah Melayu. Kedua-dua kebenaran ini tidak bercanggah,” jelasnya.

Persamaan maksud

Sanusi berkata ucapannya mempunyai persamaan dari segi maksud dan konsep dengan kenyataan tokoh-tokoh British yang direkodkan dalam Hansard. Beliau menegaskan kenyataannya tidak sepatutnya ditafsir sebagai seruan menolak atau menghalau rakyat Malaysia bukan Melayu, sebaliknya merujuk kepada hubungan sejarah antara orang Melayu dan Tanah Melayu.

“Bahasa saya juga mungkin sedikit keras kerana disampaikan dalam bentuk ceramah politik sedangkan ucapan tokoh-tokoh British direkodkan dalam perbahasan Parlimen. Namun begitu, perbezaan latar, nada dan tujuan tidak menghapuskan persamaan intipati. Kesemua mereka mengiktiraf bahawa Tanah Melayu mempunyai hubungan sejarah yang khusus dengan orang Melayu

“Adalah sesuatu yang tidak betul untuk sesiapa sahaja mengambil ungkapan saya secara terasing lalu memberikan gambaran bahawa saya sedang mempersoalkan kewarganegaraan masyarakat Cina dan India sedangkan ucapan penuh saya menunjukkan bahawa perkara yang saya bahaskan ialah hubungan sejarah Melayu dengan Tanah Melayu serta kebimbangan saya mengenai kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu,” katanya.

Related Posts