‘Masyarakat tidak menilai berapa banyak bintang di bahu seseorang anggota polis, sebaliknya sejauh mana mereka berlaku adil’.
Itu pesanan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika majlis penghargaan sempena persaraan beliau dalam Malam Mes “Dining Out” di Sunway Resort Hotel, Bandar Sunway.
Dalam ucapan balasnya, Tan Sri Ayob Khan mengingatkan warga Sang Saka Biru supaya tidak terlalu sibuk mengejar kedudukan atau melihat siapa yang berada di puncak sehingga melupakan tanggungjawab terhadap masyarakat yang sentiasa memerhati tindakan mereka.
“Masyarakat tidak menilai berapa banyak bintang di bahu kita. Mereka menilai sejauh mana kita berlaku adil,” katanya.
Pesanan itu disampaikan selepas beliau diraikan dalam majlis anjuran Mes Pegawai Kanan PDRM bertemakan “Leadership Defined, Legacy Endures”, sebagai tanda penghargaan terhadap 35 tahun khidmat bakti beliau dalam pasukan.
Baca juga:
- ‘Masyarakat tidak nilai berapa banyak bintang di bahu kita’ – Ayob Khan
- Tingkatan Enam kekal bawah KPM
- Sanusi pertahan kenyataan ‘Melayu hanya ada Tanah Melayu’
Ketua Polis Negara (KPN), IG Tan Sri Dato’ Seri Hj. Mohd Khalid Hj. Ismail berkata, Tan Sri Ayob Khan merupakan pemimpin yang dikenali dengan ketegasan, keberanian serta pendirian kukuh dalam menegakkan undang-undang berteraskan integriti dan profesionalisme.
Menurut beliau, kepimpinan yang ditunjukkan Tan Sri Ayob Khan sepanjang perkhidmatan bukan sahaja meninggalkan jasa kepada pasukan, malah menjadi contoh dan inspirasi kepada warga PDRM.
“Nilai kepimpinan yang dipamerkan Tan Sri Ayob Khan akan terus menjadi panduan kepada seluruh warga Sang Saka Biru dalam melaksanakan amanah kepada agama, bangsa dan negara,” katanya.
Majlis turut menyaksikan tayangan video khas yang memaparkan perjalanan kerjaya serta sumbangan Tan Sri Ayob Khan sepanjang 35 tahun berkhidmat, selain penyampaian cenderamata penghargaan sebagai simbol penghormatan terhadap jasa dan pengorbanan beliau.
Tan Sri Ayob Khan telah menamatkan perkhidmatan beliau sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 26 Julai 2026 selepas berkhidmat selama hampir 35 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).









